
Penduduk KinraraMas, K Mohin berkata, penduduk mengadakan mesyuarat dengan Dewan Bandaraya dan Jabatan Alam Sekitar, tetapi tiada tindakan diambil.
Penduduk diberitahu tanah itu milik persendirian, tetapi “walaupun ia tanah persendirian, ia bukan tempat untuk membuang sampah, katanya.
“Kira-kira 20 hingga 30 lori membuang sampah di atas tanah itu. Ia berbau. Penduduk mengadu pakaian yang mereka basuhpun berbau sampah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata masalah itu bermula 2 bulan lalu apabila lori mula membuang sampah secara sembarangan di tapak tersebut, yang berukuran kira-kira 1.2 hektar (3 ekar). Bilangan lori meningkat sejak itu.

Kondominium KinraraMas di Bandar Kinrara terdiri daripada 569 unit dan bersebelahan dengan kira-kira 100 rumah teres 3 tingkat. Tapak pembuangan sampah itu hanya seberang jalan dari kediaman tersebut.
Mohin menggesa Dewan Bandaraya untuk menghentikan sementara pembuangan sampah di situ sementara ia mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah.
“Sampah itu dari mana? Kami tidak tahu jenis apa sampah dibuang di sana kerana ia adalah tanah persendirian dan kami tidak boleh masuk.”
Pembuangan plastik sembarangan dari luar negara dilaporkan berlaku di Pelabuhan Klang dan Hulu Langat, meningkatkan kebimbangan pencemaran sungai dan masalah kesihatan dan kulit kepada penduduk yang tinggal berdekatan.