Bagi burung merpati makan sisa makanan boleh disaman

Bagi burung merpati makan sisa makanan boleh disaman

Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata sejak Januari hingga 19 Mac lepas, lima kompaun dikeluarkan kepada individu yang membuang sisa makanan kepada burung merpati.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata sebanyak 6,606 ekor burung merpati ditangkap pada 2023 berbanding 5,020 pada 2022 di bandar itu. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenakan kompaun terhadap mereka yang membuang sampah dan sisa makanan merata-rata termasuk untuk memberi makan kepada burung merpati.

MBPP dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu adalah di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Menurut kenyataan itu, tindakan mahkamah turut dikenakan terhadap pesalah tegar dan masih ingkar serta mereka yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan dilakukan.

“Pemberi makanan seperti itu mungkin beranggapan mereka bersifat baik hati dan pengasih, namun sebenarnya tindakan tersebut akan menjejaskan tahap kebersihan dan kesihatan awam malah ia juga menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.

“Oleh yang demikian, MBPP akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati membuang sampah dan sisa makanan merata-rata,” menurut kenyataan itu.

Menurut MBPP sejak Januari hingga 19 Mac lepas, sebanyak 93 notis kompaun dikeluarkan berkaitan kesalahan Anti Litter termasuk lima kompaun kepada individu yang membuang sisa makanan kepada burung merpati.

Selain itu, MBPP juga terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk mencuci tempat awam seperti siar kaki yang penuh dengan najis burung yang bersifat asidik dan menghakis serta boleh menjejaskan kesihatan manusia dan merosakkan harta awam.

“Selain itu, MBPP perlu membelanjakan duit rakyat dan menyediakan kakitangan yang lebih di samping kelengkapan dan pengangkutan untuk memastikan kebersihan pulau ini sentiasa dijaga dan dipelihara,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, sebanyak 6,606 ekor burung merpati ditangkap pada 2023 berbanding 5,020 pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.