5 barang boleh diperolehi percuma atas pesawat

5 barang boleh diperolehi percuma atas pesawat

Pramugara dan pramugari akan cuba menunaikan permintaan setiap penumpang selagi ia tidak melanggar peraturan atau etika kerja.

Harga tiket kapal terbang semestinya tinggi, belum lagi dikira kos perjalanan menuju ke lapangan terbang.

Kalau namanya pergi bercuti, tempat penginapan pun sudah tentu menelan belanja besar.

Namun sekurang-kurangnya anda boleh menarik nafas lega kerana terdapat beberapa barangan yang anda boleh dapat percuma semasa di dalam pesawat.

Namun tak ramai yang tahu mengenai perkara ini.

Kebiasaannya pramugara mahupun pramugari akan cuba menunaikan permintaan setiap penumpang selagi ia tidak melanggar peraturan atau etika kerja.

Tetapi harus diingat ada kalanya sesetengah pesawat tidak menawarkan apa yang penumpang mahukan dan ia di luar bidang kuasa kru kabin.

Apabila berlaku situasi seperti ini, anggap sajalah anda hanya tidak bernasib baik!

Berikut adalah beberapa barangan yang anda boleh minta daripada kru kabin tanpa perlu mengeluarkan wang atau “swipe” kad kredit anda.

1. Snek tambahan

Jika sebungkus snek ringan yang diberikan tidak mencukupi, anda tak perlu segan silu untuk meminta lebih.

Ada kalanya stok yang dibawa dalam pesawat adalah dua kali ganda, bergantung kepada penerbangan tertentu.

Jadi tak perlu tahan lapar sementara menunggu hidangan utama dihidang, mintalah snek mahupun biskut kraker ekstra selagi berada di awan biru kerana ia adalah percuma.

2. Minuman ringan

Jika pesawat membawa lebih 1,500 penumpang, ia secara automatik akan memberikan anda satu tin minuman soda.

Namun jika anda menaiki pesawat lebih kecil, jangan bimbang kerana anda boleh menikmati lebih dari segelas minuman ringan itu.

Hanya perlu minta sahaja kepada kru kabin.

Bukan sahaja minuman bergas, aneka jus, kopi dan teh juga boleh dinikmati tanpa perlu membayar lebih.

3. Fon kepala

Ini adalah aksesori wajib ada khususnya jika tempoh penerbangan anda lama.

Hampir semua pesawat menyediakan aksesori ini secara percuma.

Jadi tak perlu bimbang jika anda terlupa membawa aksesori sendiri kerana setiap seorang akan akan diberikan “headphone” untuk hiburan dalam penerbangan.

Untuk sesetengah pesawat, “headphone” itu akan dikumpul semula sebelum pesawat mendarat.

4. Ubat asas

Setiap pesawat sentiasa dibekalkan dengan ubat asas seperti Aspirin dan antacid.

Cuma tidak diketahui berapa lama tempoh ubatan itu berada di dalam pesawat.

Dalam hal ini seeloknya anda bawa bekalan ubat-ubatan sendiri kerana ia sudah tentu selamat.

Jika anda benar-benar terdesak, anda boleh minta daripada kru kabin bertugas.

Perlu diingat, ia mungkin tidak memberi kesan segera.

5. Bertemu juruterbang

Atas sebab keselamatan, setiap pesawat tidak membenarkan penumpang meninjau ke ruang kokpit.

Namun jika anda terbang dengan anak kecil, kru kabin boleh mengatur pertemuan anda dengan juruterbang semasa di awan biru.

Jika anda bertuah, juruterbang mungkin membenarkan anda mengambil gambarnya bersama si cilik anda.

Sumber MSN

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.