Kemalangan Hornet di Kuantan akibat terlanggar bangau

Kemalangan Hornet di Kuantan akibat terlanggar bangau

Hasil siasatan mendapati kesan pelanggaran seekor burung bangau yang berada atas landasan menyebabkan enjin kiri pesawat gagal berfungsi.

pesawat TUDM kuantan terhempas
Panglima Tentera Udara Muhammad Norazlan Aris ketika meninjau lokasi kemalangan pesawat F/A-18D di Pangkalan Udara Kuantan bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 21 Ogos lalu berpunca daripada pelanggaran dengan burung.

Panglima Tentera Udara, Muhamad Norazlan Aris, berkata hasil siasatan Lembaga Siasatan TUDM mendapati kesan pelanggaran seekor burung bangau yang berada di atas landasan menyebabkan enjin kiri pesawat itu gagal berfungsi.

“Penemuan itu adalah berdasarkan analisis kamera litar tertutup (CCTV), analisis daripada sistem perakam penerbangan dan pemeliharaan rekod dengan bantuan Tentera Laut Amerika Syarikat, data teknikal serta analisis diperoleh daripada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Jabatan Kimia, polis serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya menurut Bernama.

Beliau yang ditemui di Pangkalan Udara Kuantan hari ini berkata, pengoperasian pesawat F/A-18D Hornet akan diteruskan seperti biasa, dengan pesawat itu telah menjalani latihan penerbangan untuk melihat keadaan semasa.

“Saya rasa yakin bahawa tiada (masalah pesawat) yang boleh menjurus kepada (masalah) teknikal dan lebih kepada kejadian yang tidak dapat dielakkan, iaitu kemasukan burung yang agak besar dan menyebabkan pesawat itu tidak dapat berlepas pada malam berkenaan,” katanya.

Katanya, kemalangan itu dikenal pasti berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet berlepas dengan kelajuan 146 knot pada ketinggian hampir 10m, sebelum kedua-dua anak kapal itu melompat keluar kira-kira 50m dari pesawat.

Norazlan berkata, pihak pangkalan penerbangan juga telah memastikan landasan itu dalam keadaan selamat digunakan selepas kerja-kerja pengusiran burung selesai.

“Mungkin seekor burung berada di landasan pada masa dan lokasi yang tidak sesuai, sekali gus menyebabkan pelanggaran itu berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, juruterbang Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, serta jurusensor senjata Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, dilaporkan kini menjalani proses pemulihan.

Menurutnya, kedua-dua anggota tentera udara itu dijangka kembali bertugas pada 2 Okt.

“Mereka masih berehat dan hadir secara berkala untuk pemeriksaan perubatan. Jika keadaan mengizinkan, mereka akan memulakan latihan menggunakan simulator sebelum kembali meneruskan penerbangan seperti biasa,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, media melaporkan dua anggota TUDM cedera selepas terbabit kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.