
Prosiding hari ini dimulakan dengan saksi ke-11, Junaidi Md Saad yang kini ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang, Kedah, memberi keterangan.
RCI di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri yang bermula Rabu lalu, menyaksikan 10 saksi tampil memberi keterangan di depan 7 panel RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi.
Penubuhan RCI itu yang diluluskan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu, antara lain akan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.
Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.