
Peguam Ansari Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Abu Bakar Manat, bahawa Pairin sepatutnya berada dalam senarai tujuh saksi pembelaan, lapor Daily Express.
Bagaimanapun, Ansari berkata mereka tidak dapat menghubungi Pairin, sementara saksi lain, Teo Chee Ming, berada di New Zealand dan seorang lagi, Michael Imban, tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata pihak pendakwaan juga cuba menghubungi Pairin, yang merupakan ketua menteri dari 1985 hingga 1994, tetapi tidak berjaya.
Pairin juga pengasas Parti Bersatu Sabah.
Setakat ini, tiga saksi pembelaan telah memberikan keterangan dalam perbicaraan tersebut, termasuk bekas menteri pembangunan infrastruktur negeri, Raymond Tan.
Bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Talib, isterinya Fauziah Piut, dan bekas timbalan pengarah, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong, sedang dibicarakan atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta dan pemilikan barang mewah secara tidak sah.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan pada 2019.
Tahir berdepan 11 pertuduhan, Fauziah 19 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Pasangan itu turut didakwa bersama dalam dua pertuduhan, manakala Tahir menghadapi satu pertuduhan lain.
Lim, yang berdepan empat pertuduhan, didakwa memiliki wang tunai berjumlah RM2.38 juta antara 13 Okt dan 8 Nov 2016.