
Dalam kenyataan ringkas dari kandang tertuduh sebelum pasukan pembelaan memulakan hujahan penutup, bekas perdana menteri berkata beliau dijadikan sasaran secara tidak adil dalam kes tersebut.
“Saya berdiri sendirian, didakwa atas kesalahan orang lain, ini menggambarkan jenis pendakwaan yang dikenakan terhadap saya,” katanya.
Najib menamakan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo, serta bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam skandal berkenaan.
Beliau turut mendakwa, bekas pegawai khas Amhari Efendi Nazaruddin sebagai individu terlibat dalam urusan kewangan yang membawa kepada kejatuhan dana berdaulat itu.
“Walaupun dengan pendedahan dan salah laku yang disahkan, tiada seorang pun daripada mereka didakwa,” katanya.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Mahkamah juga memutuskan Shahrol, Loo, Amhari dan bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, merupakan saksi yang berkredibiliti serta tidak mempunyai sebab untuk ‘memerangkap’ beliau.
Hari ini, Najib sekali lagi mencabar pertuduhan tersebut, mendakwa ia mengelirukan.
Najib juga menegaskan, beliau hanya menuntut keadilan dan layanan sama rata seperti tertuduh lain di mahkamah.
Beliau dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.