Saksi beritahu Zara dilabel ‘bermasalah’

Saksi beritahu Zara dilabel ‘bermasalah’

Saksi menyatakan Zara Qairina Mahathir tidak disukai oleh sebahagian pelajar di asrama.

Zara Qairina
Inkues kematian Zara Qairina Mahathir akan disambung semula Selasa depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu, Zara Qairina Mahathir digelar ‘Zara bermasalah’ oleh pelajar lain di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

Saksi ke-16 iaitu pelajar Tingkatan 5 memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menyatakan Zara Qairina tidak disukai oleh sebahagian pelajar di asrama berkenaan.

“Kalau saya tanya ‘Zara yang mana’, mereka akan jawab ‘Zara yang bermasalah’. Saya juga bertanya jenis masalah yang dikatakan dan mereka menjawab ‘mencuri’.

“Namun, pada pendapat saya, Zara Qairina bukanlah seorang pelajar yang bermasalah. Saya tidak pernah memarahinya atau menegurnya,” katanya menurut Berita Harian.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah, Zara Qairina seorang yang ceria dan tidak pernah meluahkan sebarang masalah peribadi atau konflik kepada sesiapa.

Namun, beliau pernah mendengar khabar menyatakan Zara Qairina mempunyai kecenderungan terhadap seseorang daripada jantina sama.

Saksi memberitahu beliau tidak mengambil berat perkara itu kerana beranggapan Zara Qairina yang ketika itu di Tingkatan 1 masih terlalu muda.

“Berkaitan kecenderungan terhadap jantina sama, mungkin Zara Qairina hanya menganggap individu itu sebagai idola, sebab itu dia menyukainya. Namun, saya tidak pasti siapa orang itu,” katanya.

Sementara itu, saksi berkenaan turut menceritakan pengalaman ketika berada di Tingkatan 3, yang mana pelajar senior pernah memintanya membantu menggosok baju mereka.

“Pada pandangan saya, sikap pelajar senior terhadap junior di asrama ialah apabila mereka marah, mereka akan terus memarahi dan memaki junior.

“Itu perkataan yang sering saya dengar. Mereka memberi contoh tidak baik kepada junior. Saya pernah menasihati mereka, tetapi mereka tetap berbuat demikian.

“Ustazah Syahdah pernah memberi peringatan umum supaya menjaga tutur kata dan bercakap dengan baik kerana pelajar junior mudah meniru tingkah laku senior,” katanya.

Pelajar itu turut memberitahu mahkamah, tahun lalu rakan pelajar Tingkatan 5 sering menyindirnya sebagai seseorang yang suka membuat aduan.

“Saya adalah badar (pengawas surau) dan biasanya akan merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah,” katanya.

Inkues kematian Zara Qairina akan disambung semula Selasa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.