Op Bleach: SPRM panggil 16 saksi, kertas siasatan dijangka siap bulan depan

Op Bleach: SPRM panggil 16 saksi, kertas siasatan dijangka siap bulan depan

SPRM turut mengenal pasti ejen syarikat yang terlibat dalam kes rasuah proses permohonan pendatang asing melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu.

macc sprm
SPRM sebelum ini menahan 10 pegawai agensi penguat kuasa dan pesara agensi berkenaan kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat permohonan pendatang asing di negara ini sebagai pekerja asing sah dalam program RTK.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 16 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan proses permohonan pendatang asing melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang melibatkan pegawai agensi penguat kuasa.

Menurut sumber, SPRM turut mengenal pasti ejen-ejen syarikat yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut, dan kertas siasatan dijangka siap pada pertengahan Disember.

“Hala tuju siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan meminta atau menerima rasuah serta kesalahan menawarkan atau memberi suapan.

“Selain itu, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 berkaitan pemilikan harta hasil daripada kesalahan di bawah akta berkenaan, serta Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan penjawat awam menerima barangan berharga tanpa balasan daripada pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan penjawat awam tersebut,” katanya.

Pada 12 Nov lepas, Bahagian Perisikan SPRM menahan 10 pegawai agensi penguat kuasa dan seorang pesara agensi berkenaan menerusi Op Bleach kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah dalam program RTK.

Op Bleach merupakan operasi susulan bagi melumpuhkan sindiket ‘Counter Setting’ di pintu masuk negara.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan maklumat berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.