AS kenakan sekatan ke atas 2 syarikat perkapalan China

AS kenakan sekatan ke atas 2 syarikat perkapalan China

Dua syarikat perkapalan terbabit didakwa membantu Korea Utara, disyaki sama ada mengeksport arang batu atau terlibat dalam aktiviti pemindahan petroleum bertapis.

WASHINGTON: Dua syarikat perkapalan China yang didakwa membantu Korea Utara dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Yonhap.

Syarikat terbabit ialah Dalian Haibo International Freight Co Ltd dan Liaoning Danxing International Forwarding Co Ltd, menurut Jabatan Perbendaharaan pada Khamis.

Mereka disyaki sama ada mengeksport arang batu atau terlibat dalam aktiviti pemindahan petroleum bertapis antara kapal ke kapal.

Perkembangan ini berikutan sidang kemuncak ke-2 antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Vietnam bulan lalu gagal mencapai kata sepakat.

“AS dan rakan sekutu lain komited untuk mewujudkan semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin dalam kenyataan.

Beliau berkata pelaksanaan penuh sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Korea Utara “penting untuk mendapat hasil yang berjaya. ”

Tahun lalu sekurang-kurangnya 263 kapal tangki menghantar bekalan petroleum ke pelabuhan Korea Utara melalui pemindahan antara kapal ke kapal secara haram.

Korea Utara dipercayai mengimport 3.78 juta tong atau 7.5 kali lebih daripada jumlah dibenarkan bawah sekatan PBB, iaitu sebanyak 500,000 tong setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.