Industri hiburan negara kehilangan seorang lagi pelakon berbakat besar, Wafa Abdul Kadir yang meninggal dunia pada usia 52 tahun di rumahnya di Petaling Jaya awal pagi Sabtu.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman, Hafiz Nafiah dalam kenyataan berkata pelakon era 1990-an itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira 1 pagi selepas hampir lima tahun bertarung dengan kanser ovari.
“Allahyarhamah disahkan menghidap kanser ovari pada tahun 2014 dan pada tahun 2015 beliau menjalani pembedahan membuang seluruh organ wanita (ovari, tuib fallopio, rahim & ormentum-lapisan yang menutupi perut).
“Seluruh kepimpinan tertinggi dan exco Seniman Malaysia serta ahli-ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah,” katanya.
Disebabkan penyakit kanser dihidapinya, Allahyarham terpaksa membuang keseluruhan organ wanitanya termasuk menerima 18 kali rawatan kemoterapi di Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Anak bekas Mufti Wilayah Persekutuan, allahyarham Abdul Kadir Talib itu meninggalkan suami Tajul Faizal Tamimuddin, 53, dan beberapa orang anak.
Pelakon filem Azizah The Legend itu pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Persatuan Seniman Malaysia sekitar tahun 2011.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]