Francissca Peter dari ‘konsert’ depan cermin ke pentas legenda

Francissca Peter dari ‘konsert’ depan cermin ke pentas legenda

Francissca Peter atau mesra dengan panggilan Fran menikmati kerjaya warna warni sepanjang 47 tahun dalam bidang seni.

FRAN
Bagi Francissca Peter, kejayaan sebenar bukan sekadar angka atau anugerah tetapi lagu nyanyiannya ‘terus hidup’ merentas generasi.
PETALING JAYA:
Kira-kira 60 tahun lalu, Francissca Peter sewaktu kanak-kanak selalu menghabiskan masa dalam bilik, berdiri di hadapan cermin sambil memegang sikat rambut yang dijadikan mikrofon.

Dia kemudiannya berlagak seperti sedang mengadakan konsert. Daripada bilik kecil itulah bermula perjalanan Francissca atau lebih mesra dengan panggilan Fran sebagai seorang penyanyi paling dihormati di Malaysia.

Tidak lagi menyanyi di hadapan cermin tanpa penonton, Fran telah menjayakan pelbagai persembahan dan konsert dihadapi ribuan orang termasuk sewaktu bergelar pemenang pertama Anugerah Juara Lagu pada 1986 menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran.

“Itulah dunia saya waktu kecil. Saya terlalu cintakan nyanyian,” kenang Francissca yang berkongsi nostalgia itu bersama FMT.

Lebih mesra disapa Fran, ruang untuknya bergerak dalam dunia seni semakin terbuka apabila bakatnya disedari Sudirman Arshad — nama besar yang menjadi titik tolak kepada kerjaya seninya. Ketika itu, Francissca masih menyanyi di kelab-kelab kecil.

“Sudirman pernah tanya saya, ‘awak tahu kenapa saya selalu datang sini? Saya datang sebab nak dengar awak menyanyi’,” kongsi Francisca yang kini berusia 63 tahun.

FRAN02
Francissca Peter atau mesra dengan panggilan Fran cintakan kepada nyanyian sejak kecil lagi.

Kerjaya muzik penuh warna warni

Hampir lima dekad berlalu, Francissca menikmati kerjaya muzik yang cukup berwarna. Lebih 20 lagu nombor satu, lebih 30 lagu popular carta tempatan, lima anugerah vokalis wanita terbaik berturut-turut, lima album platinum, dua piring emas dan lebih 30 album termasuk solo, duet serta kompilasi — semuanya menjadi bukti konsistensi dan kualiti suaranya.

Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-47 beliau bergelar anak seni, bukan sekadar sebagai penyanyi, malah komposer, penulis lirik, jurulatih vokal dan juri pelbagai pertandingan bakat.

Namun bagi Francissca, kejayaan sebenar bukan sekadar angka atau anugerah. Ia hadir apabila lagu-lagunya terus hidup merentas generasi.

Selain Sekadar Di Pinggiran, lagu Aku Kehilanganmu dan Kehebatan Cinta hasil duet dengan penyanyi legenda Jamal Abdillah masih diputarkan di corong radio, malah dinyanyikan semula oleh anak muda — sama ada di media sosial, acara santai, persembahan kecil atau pertandingan nyanyian.

“Saya bangga dan sangat teruja. Disebabkan anda semua, saya masih hidup. Lagu saya masih hidup,” katanya dengan nada penuh syukur.

Fran seorang yang teliti 

Penyanyi berdarah kacukan Ceylon-Scotland dan Cina kelahiran Ipoh itu ibarat ‘langkah kanan’ dalam industri, apabila hampir kesemua lagu Melayunya menjadi hit dan diterima baik peminat seluruh negara.

“Menyanyi dalam bahasa Melayu tidak pernah menjadi masalah. Saya suka melodi dan liriknya, jadi penjiwaan itu datang secara semula jadi,” katanya.

Di sebalik pengalaman 47 tahun, Francissca mengakui dirinya seorang sangat teliti yang disebabkan itu selepas rakaman lagu, dia tidak akan mendengarnya semula.

“Saya serah pada pengurus. Kalau dengar sendiri, saya tak puas hati dan asyik nak rakam semula,” katanya sambil ketawa kecil.

Erti sambutan Hari Natal 

Mengimbau sambutan Hari Natal, Francisca berkata keseronokan sambutan apabila dapat bersama serta melepaskan kerinduan dengan keluarga tersayang.

“Pagi pergi gereja, balik makan bersama, anak-anak buka hadiah.

“Esoknya barulah raikan dengan kawan-kawan,” katanya yang bersyukur kerana mempunyai keluarga serta sahabat handai yang memahami kehidupannya.

Penyanyi lagu patriotik ‘Setia’ itu turut menitipkan pesanan kepada rakyat Malaysia.

Francisca berkata: “Saya harap kita terus mendidik anak-anak dengan kasih sayang, rasa hormat dan saling memahami supaya keharmonian serta semangat muhibah istimewa di negara ini terus terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.