
Rafidah dibebaskan dengan jaminan polis semalam. Beliau dan tiga individu lain ditahan pada 8.50 pagi semalam susulan maklumat diterima polis berhubung perhimpunan dijadualkan berlangsung di Kampung Sungai Baru pada 8 pagi Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Kita memberi jaminan semalam, penahanan dibuat mengikut Seksyen 105 kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan.
“Kadang-kadang dalam sesuatu situasi, apabila sesuatu sudah berlaku barulah kita mahu bertindak dan ketika itu mungkin sudah terlambat, jadi lebih baik kita ambil langkah pencegahan,” katanya menurut Berita Harian selepas Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di IPK Kuala Lumpur.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan walaupun mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita akan lihat bagaimana siasatan akan dijalankan dan saya akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.”
Selain Rafidah, tiga lagi yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia 39 hingga 47 tahun.
Individu terbabit juga didakwa memuat naik seruan mengajak orang ramai memprotes melalui TikTok pada 28 Nov lalu dengan tajuk “Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru”.