Notis tak cukup syarat punca himpunan hari wanita tiada permit, kata polis

Notis tak cukup syarat punca himpunan hari wanita tiada permit, kata polis

Fuzi Harun berkata, polis meneruskan siasatan ke atas penganjur himpunan Hari Wanita Sedunia selepas menerima lebih 50 laporan.

Fuzi Harun berkata, penganjur himpunan Hari Wanita Sedunia pada 9 Mac lalu melanggar undang-undang dengan meneruskan acara itu tanpa permit.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun hari ini bertegas penganjur himpunan Hari Wanita Sedunia pada Sabtu lalu tidak mematuhi prosedur sewajarnya, walaupun ada pihak menggesa polis menghentikan siasatan.

“Notis yang dihantar itu tidak memenuhi tempoh (ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012), itu sebabnya kita tidak meluluskan acara tersebut.

“Ini melanggar undang-undang, itu sebabnya siasatan masih diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah tugas Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim di Pusat Latihan Polis hari ini.

Peguam, Syahredzan Johan antara yang individu menggesa polis menghentikan siasatan ke atas penganjur himpunan itu.

Beliau dalam kenyataan semalam berkata, siasatan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan mencabuli hak penganjur.

Katanya, tiada alasan untuk menyiasat penganjur di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana mereka mematuhi Section 9(1) akta itu.

Bagaimanapun, Fuzi berkata, siasatan itu perlu kerana lebih 50 laporan diterima pihaknya.

“Buat masa ini, polis sedang menyediakan kertas siasatan. Sebaik sahaja disiapkan, ia akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.”

Katanya, penganjur melanggar undang-undang dengan meneruskan himpunan tanpa permit.

“Tempoh notis kurang daripada 10 hari. Jika mereka memenuhi tempoh itu, kami tentu akan meluluskan perarakan itu.”

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, penganjur melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana himpunan itu diadakan tanpa permit.

Mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu memberi notis kepada polis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

Tetapi, aktivis mahasiswa yang merupakan penganjur himpunan itu, Azura Nasron dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan notis kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 25 Februari lalu untuk memaklumkan himpunan itu akan diadakan 9 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.