
1 Januari 2019 bukan sekadar menandakan tibanya tahun baru malah menandakan bermulanya penguatkuasaan larangan merokok di kebanyakan kawasan awam.
Tindakan penguatkuasaan ini adalah satu inisiatif kerajaan yang disambut baik oleh masyarakat Malaysia, khususnya keluarga yang mempunyai anak kecil.
Namun begitu, tidak ramai yang berasa gembira dengan keputusan ini dan sudah semestinya mereka terdiri daripada golongan perokok tegar!
Kerana nila setitik
Sememangnya tidak salah untuk merokok kerana itu pilihan masing-masing namun pada masa yang sama golongan perokok perlu mempunyai sikap bertimbang rasa dengan mengambil kira faktor sekeliling.
Sudah pasti golongan yang tidak selesa dengan asap rokok adalah keluarga yang mempunyai anak kecil serta ibu mengandung.
Sehubungan itu adalah penting untuk semua mematuhi larangan merokok yang dikuatkuasakan kerajaan dan memilih lokasi yang sesuai atau tempat khas yang disediakan untuk merokok.
Berhenti merokok dengan makanan
Tidak dinafikan ada di antara perokok tegar mencuba pelbagai alternatif untuk berhenti daripada terus ketagih merokok dan pada masa yang sama dapat menjimatkan perbelanjaan harian mereka kerana sekotak rokok kini berharga RM17.40.
Ada pelbagai cara untuk anda berhenti atau kurangkan perasaan nak merokok termasuklah bersenam, mulakan hobi baru dan macam-macam lagi.
Namun begitu, cara yang paling berkesan semestinya adalah dengan makanan.
Berikut terdapat 7 jenis makanan yang diyakini dapat membantu anda, sama ada untuk kurangkan kekerapan merokok ataupun berhenti terus.

1. Bertih Jagung
Tahukah bertih jagung merupakan antara makanan yang sesuai untuk diambil jika hendak kurangkan keinginan merokok?
Jangan ingat, kalau nak berhenti merokok kena makan sayur dan salad sahaja!
Kenapa bertih jagung? Jawapannya memang mudah dan menghairankan.
Apabila hendak berhenti merokok, akan timbul perasaan untuk makan dan bukannya disebabkan lapar atau mengidam makanan tertentu namun lebih kepada hendak mengunyah.
Oleh itu, bertih jagung merupakan snek paling sesuai untuk diadikan sebagai makanan kudapan.
Namun pastikan bertih jagung yang anda makan tidak disalut dengan karamel mahupun mentega. Jika tidak, memang naiklah berat anda nanti!

2. Epal
Makanan seterusnya yang sesuai untuk diambil jika nak kurangkan kekerapan merokok ialah buah-buahan.
Epal disyorkan sebagai buah yang paling sesuai tidak kira sama ada merah ataupun hijau kerana epal mempunyai tekstur yang rangup seperti bertih jagung.
Kerangupan ini sesuai untuk memenuhi keinginan anda untuk mengunyah sesuatu.

3. Yogurt
Menurut jurnal Kajian Tembakau & Nikotin yan diterbit pada tahun 2013, perokok lazimnya, kurang makan berbanding golongan bukan merokok.
Ia kerana, nikotin mengurangkan selera makan anda.
Oleh itu, apabila anda berhenti merokok, anda akan cepat berasa lapar.
Sehubungan itu, pastikan makanan yang diambil adalah sihat dan rendah kalori seperti yogurt.
Namun begitu, jangan makan yogurt kosong. Tambahkan dengan buah-buahan dan kekacang untuk membuatkan anda lebih kenyang dan dapat bertahan lama.

4. Coklat Hitam
Kalau anda peminat coklat hitam, melihat bahan ini dalam senarai artikel ini pasti menggembirakan hati anda.
Bagi yang tidak tahu, coklat hitam sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk badan anda seperti antioksida dan flavoid.
Antioksida dikenali sebagai ejen yang membantu melawan radikal bebas dalam badan yang boleh menjadi barah.
Flavoid pula merupakan metabolit tumbuhan yang menghasilkan antioksida.
Pasti anda terfikir, bagaimana kedua-dua bahan ini dapat membantu anda berhenti atau mengurangkan kekerapan merokok anda?
Apabila anda merokok, kadar nikotin dalam badan yang tinggi akan membuatkan dopamin merembes keluar. Dopamin merupakan komponen kimia yang membuatkan anda berasa gembira.
Coklat hitam merupakan ejen rembesan dopamin semula jadi dan memberikan kesan yang sama seperti anda merokok.

5. Asam
Buah kering seperti asam merupakan makanan kelima dalam artikel ini yang dikatakan sesuai untuk membantu anda mengurangkan kekerapan merokok.
Seperti yang saya asyik nyatakan dari tadi, apabila anda berhenti merokok, anda akan cepat berasa lapar.
Daripada makan makanan yang tidak sihat dan berlemak, buah-buahan kering ialah pilihan yang lebihtepat kerana kaya dengan vitamin, mineral dan protein penting untuk badan anda.
Makan segenggam buah-buahan kering dua atau tiga kali sehari dan perut anda kekal kenyang sambil pastikan mulut anda kekal sibuk.

6. Oat
Jika anda nak sesuatu yang lebih mengenyangkan dan masih berazam untuk berhenti merokok atau mengurangkan kekerapan anda merokok, oat merupakan pilihan terbaik untuk anda.
Oat terbukti sebagai makanan penahan keinginan merokok berdasarkan kajian yang dijalankan oleh ahli sains dari Scotland.
Mereka membahagikan perokok kepada dua kelompok dan salah satu daripada kelompok tersebut diarahkan untuk jadikan oat sebagai snek mereka.
Selepas sebulan, kelompok yang makan oat didapati merokok satu per tiga daripada jumlah rokok yang dihisap oleh kelompok kedua.

7. Keju
Bahan makanan terakhir untuk membantu anda berhenti merokok ialah keju.
Bagi peminat keju dalam kalangan perokok, semestinya melihat bahan ini menerbitkan perasaan gembira dalam hati anda.
Keju merupakan bahan makanan yang baik untuk anda kerana keju menjadikan rasa dan bau rokok busuk sehingga membuatkan anda tidak ‘berselera’ untuk merokok.
Perkara kedua ialah keju membantu untuk menghapuskan sisa nikotin dalam badan anda yang membuatkan anda gian untuk merokok.
Kuatkan Semangat dan Berusaha
Adakah anda sudah bersedia untuk sahut cabaran ini?
Memang sukar untuk buang tabiat yang sudah sebati dengan diri anda.
Tetapi, apabila difikirkan balik, berhenti atau mengurangkan kekerapan anda merokok merupakan sesuatu yang baik, bukan sahaja untuk diri anda malah untuk orang disekeliling anda juga.
Lagipun, semua makanan yang disenaraikan di atas bukanlah makanan yang membosankan malah cukup menarik untuk dijadikan sebagai eksperimen dan melihat keberkesanan setiap bahan makanan tersebut dalam membuatkan anda mengawal rasa gian merokok.
Apapun selamat maju jaya dan jangan merokok sembarangan!
Butterkicap adalah satu platform makanan dan kebudayaan serta komuniti yang membolehkan sesiapa sahaja untuk merasai keindahan Malaysia menerusi cerita tentang orang, makanan dan tempat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]