
Mengulas keputusan kerajaan mengecualikan buah epal dan oren import, Ida Yasin, ahli ekonomi di Putra Business School khuatir peluasan SST tidak dapat dilaksanakan dengan baik apabila ‘tidak habis-habis berubah’.
“Kerajaan patut tetapkan prinsip kalau nak ubah pun,” katanya kepada FMT.
“Kemungkinan kita kenakan cukai dulu pada fasa pertama. Apa yang tak kena boleh kita buat semakan semula pada tempoh akan datang.”
Ida percaya mengekalkan cukai ke atas epal dan oren akan menggalakkan industri buah tempatan.
“Sekarang buah-buah import lebih murah berbanding buah tempatan seperti tembikai, apatah lagi yang bermusim seperti rambutan,” katanya.
Aimi Zulhazmi Rashid daripada Universiti Kuala Lumpur berkata keprihatinan kerajaan terhadap kemahuan rakyat wajar dipuji kerana selalunya keputusan awal percukaian sukar ditarik balik.
Beliau berkata buah-buahan import yang lebih mahal akan mengurangkan permintaan, lalu dibimbangi akan menjejaskan pendapatan penjaja kecil.
Pada masa sama, meluaskan SST mencakupi buah-buahan import merupakan peluang untuk industri negara memenuhi permintaan pasaran domestik.
“Penyelidikan dan pembangunan perlu ditingkatkan selari dengan pertanian moden dalam usaha juga mencapai sekuriti makanan negara,” katanya.
Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata kerajaan harus sentiasa fleksibel dalam pelaksanaan dasar terutamanya apabila ianya melibatkan kepentingan rakyat.
“Walaupun objektifnya untuk kepentingan masyarakat, namun dasar tidak semestinya 100% sempurna sebaik sahaja ianya dilaksanakan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan epal dan oren import dikecualikan daripada peluasan SST, selepas mengambil kira ramai dalam kalangan B40 membelinya kerana harga berpatutan.
Kementerian Kewangan sebelum ini berkata bahawa peluasan SST mulai 1 Julai, termasuk kadar 5% ke atas buah-buangan import, secara strategik bertujuan untuk mengukuhkan permintaan pertanian tempatan dan mengukuhkan keselamatan makanan.
Lima negara merupakan sumber import terbesar oren segar dan kering bagi Malaysia pada 2023, iaitu Mesir (43,569,200kg), Afrika Selatan (38,406,300kg), China (8,263,150kg), Australia (5,893,980kg), dan Amerika Syarikat (4,256,370kg), menurut laman World Integrated Trade Solution.
Bagi epal segar pula, Afrika Selatan (44,897,400kg), China (37,766,700kg), Turki (6,308,990kg), New Zealand (5,868,600kg), dan AS (1,842,270kg) merupakan sumber import terbesar pada tahun sama.
AS (20,708kg), Australia (16,332kg), China (2,305kg), Jepun (2,000kg), dan Itali (1,536kg) pula sumber import utama bagi epal kering pada tahun sama.