
Bercakap kepada FMT, Mohd Alif Jasni dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata sekiranya langkah tersebut diambil, maka perokok akan bergantung nikotin lain.
Menurutnya, keadaan itu tidak dibantu polemik berkaitan pengharaman penjualan vape dengan kebimbangan dari segi kesihatan dan kesan ekonomi yang dibangkitkan sesetengah pihak serta kumpulan.
“Vape sering dipromosikan sebagai alat pengurangan kemudaratan (harm reduction), namun pendekatan ini sebenarnya berisiko membina kebergantungan baru terhadap nikotin dalam bentuk berbeza.
“Walaupun sesetengah kajian menyokong vape sebagai bantuan berhenti merokok, namun masih ada kekurangan terutama kesan kesihatan menerusi penggunaan berterusan,” kata pensyarah kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial UUM itu.
Pada 2021, pakar kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kajian mendapati vape boleh dianggap terapi penggantian nikotin melalui pengurangan kemudaratan tembakau bagi membantu perokok berhenti merokok.
Menerusi laporan Kosmo, ahli akademik itu dilaporkan berkata Malaysia boleh mengikut jejak negara yang mengiktiraf vape sebagai terapi penggantian nikotin seperti United Kingdom.
Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan 41 klinik berhenti merokok di seluruh negara yang senarai penuhnya boleh dirujuk menerusi pautan ini.
Alif berkata penggunaan vape sebagai terapi penggantian nikotin memerlukan pengawasan perubatan ketat dan tidak dibenarkan dijual secara terbuka sehingga mudah dibeli termasuk golongan muda.
“Lindungi golongan muda dan bukan perokok daripada terdedah risiko ketagihan nikotin,” katanya.
Pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata kerajaan wajar mengharamkan terus penjualan vape, berbanding merujuk kajian bahan tersebut boleh menjadi terapi berhenti merokok.
“Walaupun ada kaitan kebaikan untuk berhenti merokok, tetapi tidak tepat dan tidak menyeluruh tentang bahaya terutama kepada mereka yang baru mula…ada alternatif lain untuk berhenti merokok. Contohnya produk kesihatan seperti tampalan nikotin (nicotine patch),” katanya.
Beliau turut yakin meningkatkan promosi program berhenti merokok akan memberi kesan positif kepada pengguna bahan itu khususnya remaja.
“Guna rawatan sedia ada, tingkatkan promosi. Mesti ada sasaran untuk klinik-klinik swasta,” katanya.