Kerajaan mahu media bebas, dan lebih bertanggungjawab, kata Kadir

Kerajaan mahu media bebas, dan lebih bertanggungjawab, kata Kadir

Penasihat khas media dan komunikasi perdana menteri berkata penubuhan MMC adalah penting namun kerajan tidak akan terbabit dalam prosesnya.

Kadir Jasin (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan gembira melihat perkembangan positif dalam usaha menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Kadir Jasin.

Wartawan veteran itu berkata MMC dijangka dapat dibangunkan tahun ini.

“Saya sudah berbincang dengan beberapa pihak bagi menggalakkan mereka untuk membangunkan majlis ini secepat mungkin.

Kerajaan baru sudah menghampiri tempoh setahun pentadbirannya dan masih ada banyak janji-janji yang belum dilaksanakan, terutama dalam aspek pembaharuan, banyak lagi undang-undang yang dijanjikan untuk dimansuh atau dipinda, yang masih belum dilaksanakan,” katanya.

“Saya dah lihat sekurang-kurangnya 2 draf yang agak baik mengenai bagaimana seharusnya MMC ini dibentuk, dan ia mungkin dapat dibincangkan dalam masa 2 hari.

“Saya harapkan beberapa idea yang lebih jelas akan dapat ditampilkan dalam persidangan ini nanti supaya ia akan dapat dibentangkan kepada kerajaan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis rundingan nasional bagi penubuhan MMC 2019 hari ini.

Timbalan ketua setiausaha di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Shakib Ahmad Shakir menghadiri majlis mewakili Timbalan Menteri Eddin Syazlee Shith.

Kadir berkata penubuhan MMC adalah penting, namun kerajaan tidak akan terbabit dalam prosesnya.

“Ia penting kerana kerajaan mahukannya, namun kerajaan tidak akan mengambil langkah pertama…ia bukan dasar kerajaan baru, kami tidak mahu campur tangan dengan media.

“Kami mahukan supaya media lebih bebas tapi kami juga mahukan media lebih bertanggungjawab. Jadi majlis media ini penting buat wartawan dan pengamal media. Ia penting kerana ia sebahagian deripada proses pembaharuan kepada kerajaan baru,” kata Kadir.

Persidangan 2 hari itu dianjurkan bersama oleh Pusat Kewartawanan Bebas dan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), dengan sasaran menghimpunkan pemegang taruh bagi melakar pelan pengawalan kendiri untuk media tempatan.

Sementara itu, Shakib semasa membaca ucapan Eddin berkata MMC boleh mencontohi badan pengawalan kendiri di Indonesia dan Filipina.

Beliau memberi contoh di Indonesia, pengawalan kendiri berjaya membantu para wartawan menangani cabaran, daripada usaha kerajaan untuk campur tangan sehingga kepada isu-isu ekstremism, dan mereka menampilkan set peraturan standard bagi liputan konflik etnik dan isu pengaman.

“Di Filipina, Cebu Citizen Press Council juga membantu menampilkan standard dalam liputan di persekitaran yang mencabar, mereka bekerjasama dengan polis bagi membantu menegakkan keadilan seperti menjunjung anggapan bahawa seseorang itu tidak bersalah (sehingga dibuktikan).

“Mereka juga menganjurkan perjumpaan dengan badan agama bagi membantu memupuk persefahaman dalam kalangan pelbagai kepercayaan berbeza, dan membantu dalam membaiki persekitaran buat pemberita mahkamah termasuk dalam menangani isu-isu berkaitan gangguan,” katanya.

Sementara itu, menurut siaran media CIJ, idea penubuhan majlis media diusulkan sejak 1970-an lagi dan beberapa kali kemudiannya, dengan yang terbaru pada 2011.

Idea itu bagaimanapun tidak menerima banyak sokongan para wartawan, yang rata-rata menganggap MMC boleh dibangunkan hanya apabila Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan, sebagai isyarat awal kerajan komited kepada konsep pengawalan kendiri dan kebebasan media.

Dengan kerajaan menegaskan komitmen memansuhkan akta itu dan menubuhkan badan kawalan kendiri, kini tiba masa bagi pihak-pihak yang berkepentingan dalam majlis media, termasuk para wartawan, editor, penerbit, dan orang awam untuk bersatu, menurutnya kenyataan itu.

MMC adalah badan pengawalan kendiri yang boleh meletakkan standard tinggi buat komuniti media bagi membantu dalam membina dan mengekalkan amanah dalam industri itu, dan bertindak sebagai badan timbang tara antara orang awam dan media dalam menjaga kepentingan seluruh rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.