Kami hormat hak bertanya dan jawab, kata KPKT

Kami hormat hak bertanya dan jawab, kata KPKT

Unit Komunikasi KPKT keluar kenyataan susulan tindakan Menteri Nga Kor Ming tegur wartawan dengan keras ketika sidang media.

Nga Kor Ming Maimunah Sharif 'I Lite U' project
Menteri KPKT Nga Kor Ming (tiga dari kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Sharif pada majlis prapelancaran projek ‘I Lite U’ pada Rabu.
PETALING JAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan pihaknya menghormati kebebasan media, namun mempertahankan hak untuk membalas pertanyaan wartawan, susulan tindakan menterinya Nga Kor Ming yang dikritik selepas menegur seorang pemberita dengan keras ketika sidang media.

Menerusi unit komunikasi korporatnya, KPKT memaklumkan pihaknya amat menghargai peranan penting media dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan disahkan kepada rakyat.

“KPKT amat menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan, serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media,” katanya dalam kenyataan.

Nga sebelum ini mengundang kecaman apabila bertindak menegur seorang wartawan Utusan Malaysia dengan keras setelah diajukan soalan berhubung bahasa Melayu.

Pada Rabu, ketika program prapelancaran projek ‘I Lite U’, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, wartawan itu bertanya mengapa nama projek itu dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu.

Nga menjelaskan, memandangkan ia berkait pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Namun, pemimpin DAP itu kemudian memberitahu wartawan tersebut beliau akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan kerana ia melibatkan ‘kepentingan nasional’.

Tindakannya itu mendorong ahli akademik, Profesor Tajuddin Rasdi menggesa Nga agar memohon maaf atas teguran keras terhadap wartawan itu.

Terdahulu hari ini, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil mempersoalkan cara Nga menjawab pertanyaan wartawan.

Beliau turut menyatakan pendirian kerajaan bahawa wartawan berhak bertanya apa jua soalan dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, setiap jawapan dan respons diberikan menteri perlu disampaikan dengan berhemah.

Kenyataan KPKT petang ini mengulangi pendirian bahawa projek ‘I Lite U’ bermatlamat menarik perhatian pengunjung antarabangsa terhadap tarikan-tarikan unik di Malaysia, khususnya di ibu kota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.