
Menurut Ketua PKR Batu Asheeq Ali Sethi Alivi, walaupun wujud kebimbangan mengenai kebebasan akhbar, isu tersebut wajar diteliti dari sudut profesionalisme dengan memberi tumpuan kepada etika dan akauntabiliti kewartawanan.
“Tindakan SKMM ini bukanlah bertujuan menyekat kebebasan bersuara, tetapi untuk menekankan kepentingan aspek ketepatan dan tanggungjawab dalam industri media,” katanya dalam kenyataan.
“Bagi organisasi media yang mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pendapat umum, kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab yang amat penting dan tidak boleh dikompromi, iaitu untuk melaporkan dengan tepat, adil serta bertanggungjawab.”
Semalam, SKMM berkata, denda terhadap Sin Chew dikenakan selepas organisasi media itu memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dalam akhbar digitalnya.
Sinar Karangkraf pula didenda berhubung satu hantaran di akaun Instagram rasminya yang mengandungi maklumat tidak benar mengenai pembabitan Ketua Polis Negara Khalid Ismail dengan sebuah parti politik.
Asheeq menyatakan, denda RM100,000 tersebut mencetuskan polemik awam, yang menyaksikan beberapa tokoh seperti wartawan disegani, Johan Jaafar, melabelkan tindakan itu sebagai ‘sesuatu yang belum pernah terjadi dan berbahaya’.
Bagaimanapun, tegasnya, wujud perbezaan nyata antara kebebasan menyuarakan pendapat dengan kegagalan mematuhi piawaian profesional.
“Kebebasan bersuara merupakan asas utama demokrasi, namun ia sama sekali tidak membawa maksud kebebasan untuk menyebar maklumat palsu atau memudaratkan tanpa menerima sebarang akibat,” katanya.
Beliau berkata, denda yang dikenakan oleh SKMM itu menjadi isyarat tegas kepada semua penggiat industri media bahawa kelalaian seumpama itu tidak boleh diterima.
Dalam pada itu, Majlis Media Malaysia (MMM) semalam turut menyifatkan denda RM100,000 tersebut sebagai berlebihan, tidak setimpal dengan kesalahan yang dikatakan berlaku.
Katanya, penalti yang sebegitu berat berisiko mencetuskan budaya ketakutan dan tapisan kendiri dalam kalangan wartawan serta editor, yang akhirnya akan melumpuhkan peranan media sebagai penyampai maklumat kepada rakyat dan penyemak imbang kuasa.