Kes Akta Hasutan melonjak 84% pada 2025, kata CIJ

Kes Akta Hasutan melonjak 84% pada 2025, kata CIJ

Centre for Independent Journalism mendakwa undang-undang itu semakin kerap digunakan terhadap pengkritik politik dan aktivis pelajar.

protest against Sedition Act EPA Images pic 101225
Laporan Kebebasan Bersuara 2025 oleh CIJ mendapati penggunaan Akta Hasutan 1948 meningkat 36 kes yang direkodkan tahun ini, berbanding 19 kes pada 2024. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Penggunaan Akta Hasutan 1948 merekodkan lonjakan ketara pada 2025 dengan 36 kes direkodkan, berbanding 19 kes pada 2024, meningkat 84%, menurut Centre for Independent Journalism (CIJ).

Dalam ‘Laporan Kebebasan Bersuara (FOE) 2025’ dikeluarkan, CIJ menyatakan pengkritik politik dan aktivis pelajar semakin kerap disasarkan di bawah peruntukan undang-undang itu.

Menurut dapatan CIJ, trend meluas melibatkan peningkatan siasatan dan tangkapan di bawah undang-undang berkenaan daripada 189 kes pada 2024 kepada 233 kes tahun ini.

“Kami memantau 36 insiden melibatkan 42 individu, di mana pengkritik politik dan aktivis pelajar masing-masing mewakili 14%,” kata Pegawai Program Pemantauan dan Tindakan CIJ, Irfan Naveen kepada pemberita pada sidang media pelancaran laporan tersebut.

Irfan berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) kekal menjadi undang-undang paling kerap digunakan untuk mendakwa isu melibatkan ekspresi dalam talian.

Menurutnya, pindaan terkini ke atas undang-undang itu telah memperkenalkan hukuman lebih berat serta kuasa penguatkuasaan diperluaskan.

Laporan tersebut turut menekankan peningkatan penggunaan undang-undang secara bertindih termasuk Akta Hasutan dan AKM untuk mendakwa ucapan yang sama sebagai jenayah, sekali gus mencetuskan ketidakpastian undang-undang.

“Pertindihan undang-undang kawal selia ini menunjukkan ekosistem penguatkuasaan tidak lagi terasing antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai isu penapisan, laporan itu menyatakan Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan 24 penerbitan buku, kebanyakannya atas alasan moraliti awam, selain garis penapisan filem terbaharu menghadkan tema melibatkan agama, kaum, seksualiti.

Sekatan ke atas persembahan kebudayaan turut dipetik sebagai contoh lanjut pengecilan ruang seni. Ia termasuk garis panduan baharu daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) yang mewajibkan persembahan ‘selari dengan ajaran Islam’.

“Jabatan Agama Islam Johor memperkenalkan garis panduan baharu untuk memastikan ‘kuda kepang’ dan persembahan kebudayaan lain selari ajaran Islam,” kata Irfan.

Peraturan digital turut dibangkitkan sebagai kebimbangan utama dalam laporan tersebut. CIJ menyatakan rancangan untuk memperkenalkan proses pengesahan identiti pengguna (eKYC) yang diwajibkan kepada semua pengguna media sosial menjelang suku kedua 2026, menimbulkan risiko serius kepada wartawan, aktivis, dan komuniti yang bergantung pada kerahsiaan demi keselamatan.

Laporan itu turut mencatatkan aktiviti penyederhanaan kandungan dalam talian yang berat, merujuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 54,175 permintaan penurunan kandungan antara Januari 2022 dan September tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.