MyCar lapor polis salahlaku pemandu tawar seks pada penumpang

MyCar lapor polis salahlaku pemandu tawar seks pada penumpang

MyCar membuat laporan untuk membolehkan polis mengambil tindakan sewajarnya.

(Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan, MyCar membuat laporan polis terhadap salahlaku pemandunya yang didakwa menawarkan khidmat seks kepada penumpang, yang tular di media sosial pada 27 Jan lalu.

Pegawai Bahagian Korporat dan Komunikasi, Nur Atika Mat Nor ketika dihubungi Bernama berkata laporan polis dibuat pada 28 Januari di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam.

“Laporan polis dibuat untuk membolehkan polis mengambil tindakan sewajarnya demi menjaga nama baik MyCar dan memaklumkan kepada mangsa untuk membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“MyCar telah mengambil tindakan tegas ke atas pemandu tersebut dengan menyenaraihitam akaun pemandu MyCar terbabit,” katanya.

Menurutnya MyCar sentiasa menitik beratkan segala aspek keselamatan penumpang dan juga keselamatan pemandu dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib ketika dihubungi Bernama mengesahkan laporan itu.

“Setakat ini kami hanya terima laporan daripada MyCar, laporan polis daripada mangsa belum lagi, kita akan siasat kes ini,” katanya.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.