Belia Pulau Pinang lapor polis hantaran provokasi Zaharudin

Belia Pulau Pinang lapor polis hantaran provokasi Zaharudin

Mereka mendakwa tindakan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad cuba mencetuskan ketegangan kaum.

LAPORAN POLIS ZAHARUDDIN MUHAMMAD
Beberapa NGO mewakili belia Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad. (Gambar DAP)
PETALING JAYA:
Sekumpulan anak muda Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap satu hantaran media sosial dimuat naik Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad yang cuba menggambarkan seorang rakyat berketurunan Cina akan menjadi perdana menteri Malaysia pada masa depan.

Dalam kenyataan bersama, NGO Kolektif Jalan Teruih, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Anak Muda Permatang Pauh membuat laporan di IPD SPT, malam tadi.

Mereka mendakwa tindakan menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu berbentuk provokasi dan cuba mencetuskan ketegangan kaum, selain menimbulkan kebencian terhadap komuniti Cina di negara ini.

“Hantaran media sosial oleh Zaharudin membawa maksud satira perkauman bersifat hasutan halus, menyentuh sensitiviti bangsa, serta menjejaskan imej institusi keselamatan negara.

“Di medan tempur, tiada ruang untuk sentimen perkauman, maka amat wajar kita semua menolak sebarang cubaan membawa politik kaum ke dalam institusi ketenteraan negara,” katanya.

Gabungan itu berkata institusi keselamatan negara seperti pasukan tentera tidak boleh dipolitikkan, sebaliknya benteng akhir negara yang perlu dihormati dan dibela.

“Bukan dijadikan bahan sindiran atau simbol ketakutan palsu.”

Semalam, Zaharudin cuba mempertahankan hantaran Facebook yang kini telah dipadam, memaparkan gambar Johnny Lim Eng Seng, yang dinaikkan pangkat sebagai leftenan jeneral angkatan tentera awal minggu ini.

Lim menjadi rakyat Malaysia berketurunan Cina pertama mencapai pangkat tiga bintang itu.

Zaharudin berkata hantaran itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kemungkinan pemegang visa program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mendapat anak di Malaysia, memohon kewarganegaraan dan akhirnya mengundi di negara ini.

Beliau mendakwa program itu boleh menyebabkan lambakan warga asing di Malaysia yang kemudian akan memohon kewarganegaraan. Ini, menurutnya, boleh membawa kepada ‘seorang perdana menteri yang lahir daripada kalangan warga asing menjelang tahun 2058’.

Zaharudin turut mendakwa gambar Lim dimuat naik hanya untuk ‘tujuan hiasan’. Ia tidak bertujuan menyampaikan sebarang mesej tersurat atau tersirat, katanya.

Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim, menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap Zaharudin, manakala Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan tersebut bercanggah dengan pendirian parti itu.

Takiyuddin turut memberi amaran tindakan disiplin akan dikenakan ke atas mana-mana ahli yang melakukan perbuatan tidak sensitif yang menjejaskan perpaduan nasional dan mencetuskan ketidakharmonian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.