
Ghazali Hajiji berkata beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkait hantaran fitnah yang dibuat pemilik akaun TikTok saka_merah7.
“Saya membuat satu laporan polis berkenaan hantaran di TikTok yang berbaur fitnah dengan niat jahat terhadap Armizan dengan mengaitkan insiden malang yang berlaku kepada seorang pelajar di SMA Tun Datu Mustafa.
“Sebagai setiausaha kepada Armizan sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan fitnah dan tuduhan palsu ini tidak terus tersebar dengan penafian yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, laporan itu dibuat supaya polis dan SKMM dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Menurutnya lagi, tiada anak Armizan yang bersekolah di sekolah sama di mana kejadian itu berlaku.
“Dalam keluarga Allahyarhamah menghadapi dugaan yang amat berat ini, tidak perlulah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menabur fitnah bagi tujuan politik.
“Jangan jadikan media sosial sebagai satu platform untuk menyebarkan fitnah atau persoalan yang sengaja menimbulkan andaian buruk,” katanya.
Kematian Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui kira-kira 3 pagi 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Remaja itu disahkan meninggal dunia di HQE I pada 11 pagi keesokannya.
Kes itu mendapat perhatian banyak pihak kerana mendakwa Zara Qairina menjadi mangsa buli.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan 60 saksi, termasuk rakan dan guru berhubung kes kematian pelajar itu.