
Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah berkata siasatan itu dibuat selepas guru berkenaan membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati apabila video seks dirinya tersebar.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.
Katanya, siasatan awal terhadap telefon bimbit lelaki itu tidak menemui sebarang kandungan pornografi. Kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
Sebelum ini, tular di media sosial isu seorang guru wanita didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang, yang dikenali sebagai ‘Abang Wiring’, selepas terbongkarnya beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp yang berunsur lucah dan tidak senonoh antara mereka.
Skandal tersebut menyebabkan Kementerian Pendidikan menggantung semantara tugas guru berkenaan.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Melaka semalam mendenda pasangan berkenaan masing-masing RM5,000 selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan cubaan melakukan zina.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan mereka membayar denda tersebut.