Akmal tak takut hadapi laporan polis Pemuda DAP

Akmal tak takut hadapi laporan polis Pemuda DAP

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata beliau sedia bekerjasama dengan polis.

Dr-Akmal-Saleh-Loke-Siew-Fook
Dr Akmal Saleh bidas Loke Siew Fook yang berada dalam pembangkang turut tidak endahkan arahan pihak berkuasa berhubung perhimpunan.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata beliau tidak takut berdepan laporan polis bakal dibuat Pemuda DAP seperti diarahkan Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.

Akmal membidas Loke yang mendakwa beliau mencabar kedaulatan undang-undang kerana tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa dengan meneruskan perarakan di Kepala Batas, semalam.

“Dulu masa zaman kamu pembangkang tetap buat juga, jadi itu pun boleh didakwa ke kerana melanggar arahan ketua polis negara?

“Siap kereta terbalik dan memijak gambar muka pemimpin kerajaan lagi ketika itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sambil menegaskan pihaknya berhimpun secara aman semalam.

“Nak lapor polis? Teruskan sahaja dan saya sedia untuk beri kerjasama. Untuk takut kepada kamu, tidak sama sekali.’

Terdahulu, Loke mengarahkan Pemuda DAP di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Akmal susulan kejadian demonstrasi semalam.

Katanya, tindakan Akmal tidak mengendahkan amaran pihak polis juga adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam yang menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.

“Perbuatan seperti ini adalah melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya.

Menurut Loke, laporan dibuat terhadap Akmal di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, serta seksyen baharu dalam menangani kegiatan buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan 507C Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, pemilik kedai perkakasan, Pang Chin Tian, 59, yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik berkata dia bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.

Dia mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.