Kenapa beri kontrak cetak buku teks DLP pada penerbit, soal persatuan percetakan

Kenapa beri kontrak cetak buku teks DLP pada penerbit, soal persatuan percetakan

Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia berkata, syarat kontrak buku teks sekolah menyatakan kerja percetakan perlu diberi kepada syarikat percetakan Bumiputera kerana mereka mempunyai lesen berbuat demikian.

Muhammed Farhan Basheer mengadakan sidang media di Cheras hari ini dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Ahmad Yazid Othman (kiri) dan bendahari Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia, Ahmad Fathi Zainuddin (kanan).
KUALA LUMPUR:
Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia mempertikaikan tindakan kerajaan memberi kelulusan khas untuk permohonan perolehan buku teks Tingkatan 3 bagi subjek Sains dan Matematik di bawah Program Dwibahasa (DLP) melalui rundingan terus kepada sebuah syarikat penerbitan buku.

Presidennya, Muhammed Farhan Basheer berkata dalam syarat kontrak semua buku teks sekolah menyatakan kerja percetakan perlu diberi kepada syarikat percetakan Bumiputera kerana mereka mempunyai lesen untuk mencetak buku teks sekolah.

Katanya, keputusan Kementerian Kewangan itu melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) dan akan mencacatkan pentadbiran kerajaan.

“Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan mengkritik budaya rundingan terus dan berjanji kepada pengundi mereka akan membuka tender untuk orang awam.

“Namun, dalam kes buku DLP ini, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Bak kata orang, cakap tak serupa bikin,” katanya dalam sidang media di Cheras hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Kementerian Kewangan dilapor memberi kelulusan khas kepada mana-mana kementerian atau agensi membuat rundingan terus bagi perolehan buku teks itu pada 18 September lalu, bagi memenuhi keperluan pelajar secepat mungkin.

Ia susulan laporan media yang buku teks DLP untuk semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran Matematik dan Sains Tingkatan 3, kini dalam proses penerbitan dan akan mula dibekalkan Mac nanti.

Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, buku teks 2 subjek itu tidak dapat disediakan pada awal sesi persekolahan ini, susulan perubahan untuk menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan 2018.

Farhan berkata, Kementerian Kewangan sepatutnya membuat tender terbuka, bukannya rundingan terus bagi mengelakkan projek diberikan kepada kroni atau individu tidak layak.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan syarikat penerbitan buku itu mencetak kira-kira 400,000 buku teks DLP.

“Keputusan memberikan projek secara rundingan terus itu telah mengetepikan syarikat percetakan Bumiputera yang lebih berkelayakan dan berkemampuan, sekiranya dibuat secara terbuka.

“Untuk apa syarikat percetakan Bumiputera mengeluarkan modal membeli mesin-mesin cetak yang mahal untuk memenuhi skop kerja penerbitan, tetapi hak mereka diketepikan?” soalnya.

DLP memberi pilihan kepada sekolah yang menyertainya untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, selain Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, objektif pelaksanaan DLP ialah menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.