Nama saya disalah guna, kata pembantu PM berkait dakwaan salah laku projek DBKL

Nama saya disalah guna, kata pembantu PM berkait dakwaan salah laku projek DBKL

Azman Abidin mengulas dakwaan tular berkenaan kaitannya dengan penganugerahan projek RM4 juta DBKL babit ahli lembaga penasihat DBKL.

azman abidin
Setiausaha politik perdana menteri Azman Abidin berkata, tokoh politik sering menjadi sasaran mudah dakwaan palsu.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, namanya disalahgunakan dalam hantaran media sosial mendakwa seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat dalam penganugerahan projek bernilai RM4 juta tanpa tender terbuka.

Kontroversi itu berkisar dakwaan bahawa projek penerbitan DBKL bernilai RM4 juta dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik ‘kroni’ ahli lembaga penasihat itu tanpa melalui proses tender yang sewajarnya.

Hantaran itu mendakwa, Anwar dan setiausaha politiknya, Azman Abidin, maklum tentang projek-projek yang dipohon oleh ahli lembaga penasihat itu, mendorong pengarah DBKL mempercepat kelulusan.

Azman berkata, tokoh politik sering menjadi sasaran mudah dakwaan palsu sedemikian.

“Nama saya ni popular sekarang, banyak sangat orang jual. Tak boleh buat apa,” katanya kepada FMT.

“Sesiapa pun boleh petik nama saya atau perdana menteri. Ini selalu berlaku apabila (terlibat) dalam politik.

“Jika ada kebenaran (dakwaan ini), buat laporan kepada pihak berkuasa. Jika tidak benar juga, harus keluarkan kenyataan rasmi nafikan untuk elakkan fitnah terhadap nama-nama yang disebut.”

FMT telah menghubungi ahli lembaga penasihat terbabit, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Sharif untuk mendapatkan komen.

Dalam pada itu, New Straits Times awal hari ini memetik Maimunah sebagai berkata, DBKL sedang menyiasat dakwaan itu.

Katanya, beliau telah membatalkan projek bernilai RM7 juta yang dikaitkan dengan ahli lembaga yang sama ketika dilantik tahun lepas.

Turut dilaporkan Azam berkata, agensi antirasuah itu bersedia membantu DBKL sekiranya siasatan perlu dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.