
Ahli Majlis Tertinggi Abu Bakar Yahya berkata pihaknya positif jumlah itu dapat dicapai kerana keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap parti pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Setiap hari PPBM tidak putus menerima ahli…selepas ini ada dari Johor, Perlis serta Kelantan akan turut menyerahkan borang keahlian kepada kita.
“Sebagai ahli majlis tertinggi, saya terima mana-mana pihak yang ingin memohon untuk menyertai parti ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas menerima borang keahlian PPBM yang diserahkan 60 bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Selangor hari ini.
Diminta mengulas kenyataan bekas pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz yang mempertikaikan tindakan PPBM menerima bekas kakitangan jabatan tersebut dan menganggap ia sekadar untuk mengukuhkan parti itu, Abu Bakar berkata pihaknya terbuka menerima sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya.
“Mereka ini bukan lagi kakitangan Jasa, Jasa pun sudah tidak wujud lagi. Jadi mereka ini bebas untuk memilih mana-mana parti politik dalam negara.
“Selain sokongan kepada Dr Mahathir, mereka ini sokong PPBM kerana kita parti berteraskan Melayu,” katanya.
Sementara itu, seorang wakil bekas kakitangan Jasa, Aldita Aladin berkata kemasukan mereka ke dalam PPBM tidak didorang mana-mana pihak sebaliknya sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan kerajaan hari ini.
“Kita beri komitmen pada ‘government of the day’ seperti mana kita pernah buat pada kepimpinan kerajaan terdahulu…kita harap dengan tindakan ini kita juga boleh menyuarakan pandangan kita sebagai rakyat.
“Ini secara tidak langsung boleh membantu kerajaan hari ini dalam pembangunan rakyat dan negara,” katanya.