Azizi tarik balik saman tamat keahlian Bersatu

Azizi tarik balik saman tamat keahlian Bersatu

Peguam memaklumkan saman ditarik balik kerana ia menjadi akademik memandangkan PRK Nenggiri sudah berlangsung dan mempunyai Adun baharu.

Mohd Azizi Abu Naim
Bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim memfailkan saman pemula pada 24 Jun tahun lalu dengan menamakan Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainudin dan Mohd Amar Abdullah sebagai defendan.
KUALA LUMPUR:
Bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim menarik balik saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar penamatan keahliannya daripada Bersatu.

Peguam Nur Irdina Syahirah Mohammad Wardi yang mewakili Azizi memaklumkan kepada Hakim Roz Mawar Rozain pihaknya menarik balik saman itu kerana ia menjadi akademik memandangkan PRK Nenggiri sudah berlangsung dan mempunyai Adun baharu.

Sementara itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah selaku defendan, memohon Azizi membayar kos sebanyak RM250,000 kerana kes itu berkepentingan awam dan rumit.

“Pihak kami juga telah bertungkus-lumus menyiapkan kes ini memandangkan ia melibatkan speaker yang merupakan satu jawatan penting dan boleh memberi kesan kepada badan perundangan negara selain kes ini membabitkan landskap pemilihan wakil rakyat,” katanya.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin sebagai defendan, turut memohon Azizi membayar kos RM250,000 kepada kedua-dua anak guamnya.

“Saman ini tiada asas dan penghujungnya akan gagal. Ini terbukti dengan penarikan balik saman ini,” kata Chetan.

Roz Mawar kemudian membatalkan saman itu dan memerintahkan Azizi membayar kos RM50,000 kepada Amar dan RM50,00 untuk Muhyiddin dan Hamzah.

Azizi selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 24 Jun tahun lalu dengan menamakan Muhyiddin, Hamzah dan Amar sebagai defendan.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun 2024 tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.

Azizi juga memohon perisytiharan bahawa surat makluman itu tidak sah dan batal serta pemecatan jawatannya daripada Bersatu berniat jahat.

Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong pesaing politik, adalah tidak berperlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.