
Malah, bekas timbalan presiden PKR berkata tindakan itu hanya akan menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, berbanding DAP (40), BN (30) dan GPS (23).
“Menggantung kami tidak menyelesaikan masalah kerana kami dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara, jadi kami akan terus bersuara.
“Menggantung kami memberi gambaran tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada Ahli Parlimen seperti Hassan Karim yang lebih teruk mengkritik perdana menteri (Anwar Ibrahim) sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun,” katanya di Facebook.
Pada 7 Julai lalu, Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR tampil dalam sidang media mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.
Susulan itu, 19 ketua cabang PKR Johor dan 11 ketua cabang PKR Kedah turut menggesa siasatan tatatertib dilakukan dan keahlian sembilan Ahli Parlimen terbabit digantung sementara.
Ahad lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata parti sedang meneliti gesaan berkenaan dan laporan rasmi berhubung desakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dua minggu lagi.
Rafizi turut menegur pimpinan PKR peringkat cabang supaya terus lantang memperjuangkan masalah rakyat, dan tidak berdiam diri.
“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini untuk menjadi orang besar dan berjawatan,” katanya.