Tengku Zafrul akan gagal juga dalam PKR, kata penganalisis

Tengku Zafrul akan gagal juga dalam PKR, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata Tengku Zafrul Aziz sudah diberi banyak peluang oleh Umno namun gagal meraih sokongan akar umbi.

Tengku Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Aziz hadir majlis pecah tanah surau di Bandar Puncak Alam, Selangor, pada September tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik tidak terkejut keputusan Tengku Zafrul Aziz keluar Umno dengan harapan menyertai PKR, namun ada meramalkan senator itu juga akan gagal dalam parti Anwar Ibrahim.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Tengku Zafrul diberikan banyak peluang dalam Umno, terutamanya dengan sokongan Presiden Zahid Hamidi.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Namun, katanya beliau gagal meraih sokongan akar umbi yang kukuh sepanjang berada dalam parti, walaupun menjadi ahli sejak 1997 dan kemudian Ahli Majlis Tertinggi.

“Saya tidak fikir beliau akan hidup dalam PKR walaupun ada kemungkinan mendapat dukungan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Beliau tidak dapat hidup dalam politik Umno meskipun disokong Zahid, apatah lagi PKR,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, sosok seperti Rafizi Ramli juga berdepan kesukaran, merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR yang tumpas dalam pemilihan semula minggu lalu, membawa peletakan jawatan Kabinet.

Beliau percaya Anwar berada pada kedudukan ‘paling sulit’ kerana potensi permusuhan yang akan timbul dengan Umno, jika beliau menerima penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR.

Katanya, Anwar perlu menimbang secara teliti pro dan kontra, mengambil kira sama ada bekas ketua Umno Kota Raja itu menawarkan apa jua nilai kepada PKR.

“Saya secara peribadi tidak fikir begitu (Tengku Zafrul beri nilai kepada PKR),” katanya. “Beliau dianggap orang luar dan memberikan peluang menjadi calon pilihan raya PKR pada masa depan akan cetus kekacauan dalam PKR.

“Beliau gagal bina sokongan akar umbi dalam Umno dan beliau juga akan bergelut dalam PKR. Beliau tidak ada sokongan akar umbi.”

Azmi berpandangan Tengku Zafrul akan diterima masuk dalam PKR, namun ia tidak banyak membantu kerjaya politiknya.

Tengku Zafrul sering dilihat sebagai teknokrat walaupun bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB itu menjadi ahli Umno sejak 1997, dilantik menteri kewangan ketika era Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan sama dipegang ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Keahliannya dalam Umno diketahui menjelang PRU 2022 ketika beliau tercalon bertanding di Parlimen Kuala Selangor, namun tumpas.

Selepas menyertai Kabinet Anwar sebagai menteri perdagangan, Tengku Zafrul dipilih Ahli Majlis Tertinggi dan juga mengetuai Umno Kota Raja.

Beliau meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada April tahun lalu, dengan alasan menghadapi tentangan terhadap perubahan positif, sebelum spekulasi mengenai pengundurannya dari Umno mula tersebar pada Disember.

‘Kena pada masanya’

James Chin dari University of Tasmania, percaya pengumuman Tengku Zafrul semalam mengejutkan PKR dan Umno, sambil menyatakan masanya bertepatan memandangkan PKR baru sahaja selesai pemilihan parti.

Beliau tidak menjangkakan suasana akan tegang antara PKR dan Umno, dengan menyifatkan pengunduran Tengku Zafrul sudah dirancang.

james chin
James Chin.

Chin menggambarkan kritikan pemimpin Umno terhadap perihal itu sekadar sandiwara. “Umno sudah tahu beliau akan keluar. Hakikat Umno tidak menyerang Anwar secara terbuka sejak Februari (mengenai Tengku Zafrul) bermaksud mereka sudah mencapai persetujuan.”

Mengambil kira tempoh senator berakhir hujung tahun ini, Tengku Zafrul sedang mengintai jawatan dilantik dalam pimpinan PKR, termasuk kerusi boleh menang menjelang PRU akan datang, kata Chin.

Katanya, Umno sudah menganggap Tengku Zafrul calon pilihan raya dengan kebarangkalian rendah untuk menang, terutama di kawasan nusa teras Melayu.

“(Tokoh seperti Tengku Zafrul) hanya boleh menang di kawasan bercampur, jadi beliau mungkin fikir PKR lebih cocok dengannya.

“Dengan tempoh senator tidak boleh dilanjutkan, peluang terbaik untuk terus berada dalam kerajaan adalah jadi calon PRU16. Dan beliau fikir PKR pilihan lebih tepat, kini masa terbaik untuk masuk dua tahun sebelum PRU.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.