Rafizi saran 5 tahun jadi ahli PKR baru layak tanding pemilihan

Rafizi saran 5 tahun jadi ahli PKR baru layak tanding pemilihan

Timbalan presiden PKR berkata, kuasa pelepasan presiden parti kepada individu yang belum cukup setahun keahlian juga perlu dibatalkan.

kongres pkr
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata saranan itu sebagai menangani pergolakan yang timbul dalam pemilihan parti akibat tindakan pihak tertentu yang ‘lompat dari parti lain’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mencadangkan hanya individu dengan keahlian sekurang-kurangnya lima tahun dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti bagi mengukuhkan disiplin dan kesetiaan ahli.

Menurutnya, saranan itu sebagai menangani pergolakan yang timbul dalam pemilihan parti akibat tindakan pihak tertentu yang “lompat dari parti lain”.

“Setiap kali pemilihan mesti ada bocor geng-geng yang tak kenal masuk secara tiba-tiba dalam parti kita dan kemudian macam-macam bergolak.

“Setuju atau tidak, selepas ini kita mesti menetapkan perlu menjadi anggota parti sekurang-kurangnya lima tahun sebelum boleh bertanding,” katanya ketika berkempen untuk pemilihan PKR di Johor Bahru malam tadi.

Rafizi yang dalam misi mempertahankan jawatan nombor dua parti akan dicabar anak sulung Perdana Menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Nurul Izzah pada pemilihan 23 Mei ini.

Rafizi berkata, sistem sedia ada membenarkan ahli baharu bertanding jawatan dalam pucuk pimpinan parti dan kadangkala dengan kuasa pelepasan presiden.

“Yang mana jika anggota itu tidak cukup satu tahun keahliannya, tetapi dengan kuasa presiden, dia boleh bertanding. Saya minta batalkan pelepasan itu 100%.”

Beliau berkata, ahli yang mahukan jawatan dalam parti perlu “kembali kepada tradisi bermula dari bawah”.

“Bagaimana seorang bekas bendahari (agung) MIC, hanya selepas masuk parti enam bulan boleh bertanding pilihan raya di kawasan Parlimen selamat.

“Kemudian dilantik jadi timbalan menteri dan tidak sampai dua tahun, kini bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan,” katanya merujuk R Ramanan yang juga timbalan ketua penerangan PKR.

“Masa kita ambil panjang, kemudian terbukti berbakti dan ikhlas kepada parti tanpa jawatan. Saya yakin anggota parti akan angkat kamu jadi pemimpin.”

Ramanan menyertai PKR pada 2020 selepas meninggalkan MIC pada 2014.

Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu secara terbuka menyokong Nurul Izzah bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.