
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata tidak mustahil bekas pemimpin Umno seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan diterima semula.
“Pemimpin seperti Shahril dan Khairy masih mempunyai peluang besar untuk diterima semula, cuma mereka mahu atau tidak sahaja,” katanya kepada FMT.
Lau juga berpendapat sekiranya Umno menerima semula bekas pemimpinnya yang mempunyai pengaruh kuat di peringkat nasional atau kawasan, ia boleh memberi impak besar dalam PRU nanti.
“Jika pemimpin seperti Tajuddin diterima semula, kesannya lebih kepada politik dalaman, tetapi jika individu seperti Khairy ia dijangka boleh memberikan impak lebih signifikan,” katanya.
Tajuddin digantung keahlian bermula Sept 2022 selepas secara terbuka mengkritik Umno, berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun tahun yang sama.
Semalam, kepimpinan Umno mengumumkan menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin berkuat kuasa serta-merta.
Khairy yang juga bekas ketua pemuda dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar pula dipecat dari Umno pada Jan 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.
Manakala keahlian Shahril yang juga bekas ketua penerangan dan bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein digantung selama enam tahun.
Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata tindakan Umno menerima semula Tajuddin dilihat sebagai indikasi parti tersebut bersedia untuk memaafkan dan menerima kembali ahli yang menunjukkan kesetiaan.
“Secara keseluruhan, penarikan balik penggantungan Tajuddin mencerminkan usaha Umno untuk memperkukuh perpaduan dalaman.
“Pada masa sama menarik semula sokongan ahli serta pengundi, dengan harapan memperbaiki prestasi parti dalam pilihan raya akan datang,” katanya sambil menambah ia turut mencerminkan sifat keterbukaan Presiden Umno Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, Lau berkata sukar untuk Umno menerima semula bekas pemimpin yang telah menyertai pembangkang dan berterusan mengkiritik parti seperti Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa dan Noh.
“Seperti Tajuddin dia tidak kritik parti, dia hanya tuju kepada Zahid, orang macam ini akan diterima balik, tetapi seperti Shahidan, Annuar, dan Noh yang sudah masuk parti lain dan mengkritik Umno dengan teruk agak sukar diterima semula.”
Awang Azman turut senada dengan Lau dan berkata Umno perlu tegas menangani ahli yang dilihat terus bertentangan dengan keputusan kepimpinan kerana ia boleh mengganggu gugat kestabilan parti.