Lembaga Getah rugi RM800 juta dalam transaksi ‘meragukan’, kata menteri

Lembaga Getah rugi RM800 juta dalam transaksi ‘meragukan’, kata menteri

Teresa Kok berkata tanah dijual kepada Aset Tanah Negara dengan bayaran RM1.5 bilion. Tanah itu kemudian dibeli Kwasa Land dengan bayaran RM2.28 bilion.

PETALING JAYA: Menteri Industri Utama, Teresa Kok hari ini mendedahkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerugian selepas kerajaan dulu mengarahkan jualan tanah seluas 2,800 ekar pada 2010.

Teresa berkata Kabinet pada Oktober 2010 meluluskan dan mengarahkan 2,800 ekar tanah Lot 481 di Sungai Buloh dijual kepada sebuah syarikat tujuan khas, Aset Tanah Negara Bhd menerusi jualan langsung yang mana LGM secara sewenang-wenangnya dibayar RM1.5 bilion sebagai balasan jualan.

Namun, kerajaaan kini tahu 2,800 ekar tanah Lot 481 itu kemudian dibeli oleh anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kwasa Land dengan balasan jualan kira-kira RM2.28 bilion.

“Maka LGM kerugian kerana terdapat perbezaan harga sebanyak RM800 juta,” katanya dalam kenyataan. “LGM berpendapat ia mempunyai hak secara sah ke atas jumlah RM800 juta ini. Jumlah ini masih gagal dikesan sehingga kini.”

Beliau berkata LGM sudah melaporkan transaksi “meragukan” itu kepada Jabatan Audit Negara untuk audit menyeluruh dan siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan Lot 481 adalah kira-kira 3,385 ekar dan setelah penjualan 2,800 ekar tanah ini, baki Lot 481 tinggal 585 ekar sahaja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.