
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA) Wong Chan Choy memberitahu FMT, penduduk kecewa dengan pertemuan itu hari ini.
“Kami tidak puas hati kerana tak dapat sebarang jawapan daripada (pihak DBKL). Mereka hanya kata, ‘kami akan teliti (perkara ini’.
“Tiada penyelesaian diberikan dan kami sangat-sangat sedih dengan situasi ini,” katanya selepas menghadiri pertemuan itu.
Pembangunan itu melibatkan pembinaan lebih 1,600 pangsapuri servis bawah nama ‘M Aspira’ di atas tanah berkeluasan 1.5ha menerusi fasa pertama.
Fasa kedua akan melibatkan pembinaan 800 rumah mampu milik ‘Residensi Madani’ pada baki 1ha tanah.
Wong berkata, perlu ada komunikasi dua hala antara pihak berkuasa dan penduduk mengenai pembangunan itu.
Menurutnya, langkah seterusnya bagi penduduk adalah membangkitkan perkara itu pada mesyuarat dewan bandaran akan datang dengan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
“Selepas itu, kami harap dapat berjumpa dengan datuk bandar,” tambahnya.
Pada 15 Julai, Kok berkata, beliau kecewa dengan keputusan DBKL menjual tanah itu kepada Mah Sing Group Bhd untuk pembangunan yang dicadangkan itu.
Katanya, beliau tidak dimaklumkan oleh kerajaan, mahupun dirujuk berhubung kelulusan penjualan itu, dan hanya menyedarinya selepas Mah Sing mengumumkan perjanjian RM108 juta itu pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, kerajaan pada awalnya berhasrat menjadikan kawasan lapang itu sebuah taman, tetapi rancangan ini telah dibatalkan dan digantikan dengan pembangunan pesat.
Mah Sing berkata, nilai pembangunan kasar projek yang dicadangkan itu dianggarkan RM1.01 bilion.
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa kemudiannya berkata, penjualan tanah itu dilakukan melalui tender terbuka.
Penjualan tanah itu akan memastikan 800 unit rumah mampu milik dibina dengan kos ditanggung oleh pemaju, tambahnya.