Tuduhan ‘tak cekap’, Chow saman ketua dewan perniagaan P Pinang

Tuduhan ‘tak cekap’, Chow saman ketua dewan perniagaan P Pinang

Ahli perniagaan Tan Kok Ping sebelum ini menuduh ketua menteri Pulau Pinang itu sebagai “tidak cekap, jahil dan tidak tahu malu”.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan Tan Kok Ping dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat exco.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau akan menyaman ahli perniagaan Tan Kok Ping kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau semalam.

Chow berkata, keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tan dalam satu sidang media dalam bahasa Mandarin semalam, menggelar Chow sebagai “tidak cekap, jahil dan tidak tahu malu” kerana mengelak soalan mengenai perjanjian jualan sebidang tanah industri di Batu Kawan.

Bagaimanapun, Chow menepis sindiran Tan itu, dan berkata agensi kerajaan negeri yang terlibat dalam perjanjian itu sudah menjawab soalan bagi pihaknya.

Dalam satu kenyataan ringkas, Chow berkata mesyuarat exco menganggap kenyataan yang dibuat Tan sebagai mengaibkan dan menjatuhkan maruah ketua menteri.

“Mesyuarat kerajaan negeri memutuskan supaya tindakan undang-undang perlu diambil terhadap presiden kehormat seumur hidup Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang itu.

“Tindakan undang-undang ini akan diuruskan peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan itu.

Pada Selasa lalu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengumumkan perjanjian tanah seluas 226 hektar itu dibatalkan susulan perubahan pegangan saham dalam Umech Land kepada pemaju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.