Minta SPRM siasat perjanjian tanah Batu Kawan, Gerakan beritahu Chow

Minta SPRM siasat perjanjian tanah Batu Kawan, Gerakan beritahu Chow

Ketua Gerakan P Pinang Oh Tong Keong berkata, ketua menteri mesti meminta SPRM dan PAC negeri meneliti perjanjian penjualan tanah yang telah dibatalkan itu.

Oh Tong Keong berkata, siasatan mesti dijalankan untuk menunjukkan tiada rasuah dan salah guna kuasa dalam cara perjanjian tanah itu dibuat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penjualan tanah kerajaan di Batu Kawan, Pulau Pinang, dikatakan bawah nilai pasaran dan tanpa usaha wajar, perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong.

Beliau menggesa agar Ketua Menteri Chow Kon Yeow meminta agensi antirasuah itu campur tangan, selain mendapatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) negeri untuk meneliti perjanjian penjualan tanah itu.

“Perjanjian tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), yang telah dibatalkan, menimbulkan pertikaian. Kerajaan negeri dan PDC harus bekerjasama dengan SPRM dan PAC negeri untuk menunjukkan tiada rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam cara perjanjian itu dibuat.

“Jangan kita terlepas pandang penjualan tanah secara rundingan terus itu ,” kata ketua Gerakan negeri itu dalam kenyataan, merujuk pertelingkahan antara Chow dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC).

Penjualan sebidang tanah bekas ladang seluas 558.9 ekar (226.20 hektar) bernilai RM646 juta di Byram, Batu Kawan itu menarik perhatian selepas PDC didakwa menjualnya kepada syarikat swasta pada harga RM26.53 setiap kaki persegi, lebih rendah daripada kadar pasaran.

Syarikat yang membeli tanah itu daripada PDC kemudiannya diambil alih oleh pemaju hartanah.

Kerajaan Pulau Pinang sejak itu mempertahankan penjualan itu dengan berkata, tanah itu tidak dapat dijual pada RM80 setiap kaki persegi, mengikut kadar pasaran, kerana ia “tanah tidak dibangunkan”, tanpa sebarang prasarana, malah terletak di sebelah tapak pelupusan sampah.

Dilaporkan bahawa tanah tersebut diambil alih oleh kerajaan negeri pada harga kira-kira RM10 setiap kaki persegi.

Awal minggu ini, PDC membatalkan perjanjian itu, menyatakan bahawa keputusan itu dibuat setelah diketahui bahawa pemaju mengambil alih syarikat yang membeli tanah itu.

Bagaimanapun, pada sidang akhbar semalam, presiden kehormat seumur hidup PCCC Tan Kok Ping menggelar Chow “tidak cekap” kerana mengelak soalan mengenai perjanjian jualan tanah itu. Susulan itu, Chow berkata beliau akan menyaman Tan atas kenyataannya yang berunsur fitnah.

Chow turut menafikan dakwaan Tan dengan berkata, agensi kerajaan negeri yang terlibat dalam perjanjian itu sudah menjawab soalan bagi pihaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.