Tanah 2.5 hektar Taman Desa dijual secara tender terbuka, kata Zaliha

Tanah 2.5 hektar Taman Desa dijual secara tender terbuka, kata Zaliha

Penjualan tanah tersebut bagi memastikan kos pembinaan Residensi Madani ditanggung pemaju, menjimatkan belanja kerajaan, kata menteri.

Zaliha Mustafa
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, tanah perlu dijual kepada pemaju dengan kredibiliti tinggi agar Residensi Madani dapat dibangunkan dalam tempoh yang ditetapkan.
PETALING JAYA:
Penjualan tanah seluas 2.5 hektar (6.17 ekar) di Taman Desa kepada Mah Sing Group Bhd dibuat secara tender terbuka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, penjualan tanah tersebut bagi memastikan kos pembinaan 800 unit Residensi Madani ditanggung pemaju.

“Ini akan memberikan penjimatan kepada pihak kerajaan apabila kos tersebut ditanggung oleh pemaju,” katanya kepada FMT.

Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bahawa beliau kesal dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah berkenaan.

Kok berkata, beliau tidak ‘diberitahu dan dilibat urus’ berhubung kelulusan penjualan tanah itu, dan hanya menyedarinya selepas Mah Sing Group mengumumkan perjanjian RM108 juta itu pada Rabu lepas.

Menurutnya, syarikat itu merancang membangunkan tanah itu dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan pembinaan M Aspira, yang mempunyai lebih 1,600 unit pangsapuri servis, di atas tanah seluas 3.7 ekar.

Fasa kedua melibatkan pembinaan 800 rumah mampu milik bawah nama Residensi Madani, di atas baki 2.47 ekar lagi.

Plot tanah yang dijual oleh DBKL kepada Mah Sing Group itu pernah diambil balik oleh kerajaan daripada syarikat pemaju Aset Kayamas ketika Khalid Samad menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Kok berkata, Khalid membuat keputusan sedemikian setelah mengambil kira aduan mengenai ‘pembangunan berlebihan’ daripada penduduk Taman Desa.

Sementara itu Zaliha menjelaskan, penjualan tanah kepada pemaju dengan kredibiliti tinggi amat perlu untuk memastikan Residensi Madani dapat dibangunkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“DBKL masih belum mengeluarkan Kebenaran Merancang kepada pihak pemaju,” katanya.

“Pemaju tetap perlu mematuhi syarat-syarat pembangunan sebelum Kebenaran Merancang dikeluarkan termasuk dengan melaksanakan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) dan sebagainya bagi memastikan pembangunan tersebut terkawal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.