P Pinang batal perjanjian jual tanah Batu Kawan

P Pinang batal perjanjian jual tanah Batu Kawan

Perubahan pegangan kawalan dalam syarikat pembeli tanpa kelulusan ‘tidak boleh diterima’, kata PDC.

PDC berkata, pihaknya telah memberikan notis tiga bulan kepada UMECH Land Sdn Bhd, susulan mesyuarat lembaga pengarah semalam. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Pulau Pinang membatalkan penjualan sebidang tanah perindustrian di Batu Kawan kepada sebuah syarikat swasta berikutan perubahan dalam pegangan saham syarikat tersebut.

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berkata, pihaknya telah memberi UMECH Land Sdn Bhd notis tiga bulan, susulan mesyuarat lembaga pengarah semalam.

“Perubahan pegangan majoriti dalam UMECH Land Sdn Bhd, sehingga tahap pegangan kawalan, tanpa kelulusan PDC terlebih dahulu ialah isu serius dan sesuatu yang tidak boleh diterima oleh lembaga PDC,” katanya dalam kenyataan.

Penjualan tanah itu menjadi kontroversi berikutan dakwaan ia dijual pada harga bawah pasaran, dan syarikat itu kemudiannya diambil alih oleh pemaju hartanah utama.

PDC berkata, selepas penamatan kontrak, syarikat diarahkan untuk mengiklan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui Permintaan bagi Cadangan (RFP) untuk cadangan kolaborasi dengan PDC bagi memajukan Taman Perindustrian Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2).

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, lembaga PDC telah meneliti kes UMECH dan mendapati proses pemilihan UMECH, termasuk penetapan sumbangan tunai, jadual bayaran kepada PDC adalah telus dan selaras dengan dasar PDC.

“Lembaga PDC juga mengambil maklum bahawa kolaborasi ini adalah munasabah dan memberi impak positif kepada aliran tunai PDC termasuk dari aspek komersial dan faedah kepada pembangunan negeri Pulau Pinang,” katanya.

Kontroversi tercetus apabila Majlis Kaum Cina Pulau Pinang (PCCC) berkata, plot tersebut dijual pada harga di bawah nilai pasaran kepada UMECH Construction Sdn Bhd. PCCC juga mendapati rundingan terus tidak dapat diterima.

PCCC juga mendakwa pemaju hartanah telah menguasai UMECH dan kini menawarkan pajakan sebahagian tanah pada harga tinggi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus, memandangkan tiada pihak lain berminat selain tanah berkenaan berdekatan tapak pelupusan sampah.

Katanya, bukan perkara baharu urus niaga rundingan terus dibuat kerana ada juga sebahagian tanah di Batu Kawan telah menjalani urus niaga sedemikian sebelum ini.

Dilaporkan, pada 27 Sept, Sunway Bhd mengumumkan UMECH Land telah menandatangani perjanjian pembangunan bersama dengan PDC membangunkan tanah 226.20ha di Batu Kawan kepada taman perindustrian dengan nilai pembangunan kasar sekitar RM3.5 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.