
Himpunan Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berkata Azwanddin mengingkari syarat-syarat perhimpunan aman iaitu tidak melakukan provokasi semasa berucap.
“Kita sudah beritahu dia perkara-perkara yang mendatangkan provokasi mana-mana bangsa, agama dan organisasi tidak sepatutnya dibuat,” kata Presiden Abu Bakar Mohamed kepada pemberita selepas himpunan di Dataran Seni Klang petang tadi.
“Saya tidak setuju dengan ucapan itu dan saya sedih…kita gam dia terus. Kita tak mahu ucapan-ucapan sebegini akan datang. Kita tak akan jemput dia lagi,” katanya.
Tunjuk perasaan di Klang hari ini menyaksikan lebih 1,000 orang berhimpun menuntut keadilan untuk Adib, anggota bomba yang meninggal dunia kerana cedera dalam rusuhan di kuil Seafield bulan lepas.
Mereka mengemukakan 7 tuntutan kepada kerajaan, termasuk pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.
Azwanddin dalam ucapannya mencadangkan nama Waytha ditukar kepada panggilan “p*r*a” dan akan “serang” balai polis jika pemaju dalam isu kuil itu tidak ditangkap.
Abu Bakar berkata Azwanddin sudah meminta maaf kepada penganjur dan akan membuat kenyataan maaf kepada polis.
Tunjuk perasaan hari ini berlangsung 5.10 petang dan bersurai pada 6.30 petang tadi, dan perarakan sejauh 500m dari Masjid Diraja Klang ke Dataran Seni Klang itu disertai Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (Batas), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (Serumpun) dan Kebajikan Sejagat Malaysia (Sejagat).
Penganjur berkata satu memorandum akan diserah kepada Istana Selangor dalam masa terdekat.