DAP tak tunduk provokasi, tentu hala tuju sendiri, kata Loke

DAP tak tunduk provokasi, tentu hala tuju sendiri, kata Loke

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh cabar pemimpin DAP lepas semua jawatan dalam kerajaan negeri kerana ia sebahagian komponen kerajaan Melaka diterajui BN ketika ini.

Loke Siew Fook
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata hala tuju dan keputusan DAP, termasuk pembabitan dalam kerajaan negeri atau persekutuan, dibuat berpaksikan prinsip dan kepentingan parti serta pengundi diwakili.
PETALING JAYA:
DAP tidak akan membuat keputusan berdasarkan tekanan, provokasi atau cabaran pihak lain selepas Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mencabar pemimpin parti itu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Melaka, kata Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, hala tuju dan keputusan DAP, termasuk pembabitan dalam kerajaan negeri atau persekutuan, dibuat berpaksikan prinsip dan kepentingan parti serta pengundi diwakili.

Menurutnya, sebarang isu membabitkan kedudukan dan pendirian parti akan dibincangkan kepimpinan dan perwakilan negeri secara dalaman, sebelum dilaporkan kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk pertimbangan lanjut.

“Kita tidak takut dicabar, malah kita pantang dicabar, namun dalam masa sama, kita tidak mudah diprovokasi dan setiap keputusan mesti dibuat secara matang serta bertanggungjawab.

“DAP tidak gentar berdepan cabaran, parti tidak akan bertindak terburu-buru akibat provokasi pihak tertentu,” katanya menurut Berita Harian ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25 di Melaka.

Akmal dalam Konvensyen Khas Pemuda Umno semalam mencabar pemimpin DAP meletak semua jawatan dalam kerajaan Melaka kerana parti itu sebahagian komponen kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Tegas Loke, DAP berhak menentukan hala tuju dan masa depan perjuangan parti tanpa campur tangan pihak luar.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong parti itu terus memperkukuhkan DAP dengan penuh dedikasi berserta kesungguhan menjelang ulang tahun ke-60 penubuhannya tahun ini.

“DAP ditubuhkan pada 1966 dan ulang tahun ke-60 ini detik bersejarah yang perlu dirai bersama sebagai tanda komitmen untuk terus memperkukuhkan parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.