
Ia muncul di sebalik spekulasi tentang kemungkinan gelombang kedua penghijrahan pemimpin Umno dari parti itu seperti yang berlaku di Sabah semalam.
Gambar itu menunjukkan Dr Mahathir bersama Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan dan beberapa bekas menteri termasuk bekas setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Noh Omar.
Turut dilihat dalam gambar itu (kanan) ialah Datuk Yahya Jalil, pemilik Gerbang Perdana Sdn Bhd, syarikat yang mendapat kontrak membina “jambatan bengkok” di perairan Johor bernilai RM1.1 bilion yang dibatalkan.
Ketika dihubungi, Mohamad mengesahkan pertemuan itu berlaku tetapi menafikan ia berkaitan dengan usaha “melompat parti” oleh pemimpin Umno.
Sebaliknya, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata ia bagi mendapatkan penjelasan perdana menteri berkenaan kenyataannya di New York mengugut mahu “menguburkan” Umno.
“Itu sebab saya bawa pergi jumpa supaya dapat penjelasan daripada Tun dan minta Tun jangan bubarkan Umno,” katanya kepada FMT.
Kemunculan gambar itu menarik perhatian ramai, terutama kerana ia hanya sehari selepas Umno dikejutkan dengan keputusan lebih 30 wakil rakyat, senator dan ketua cawangan di Sabah keluar parti.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A. Kadir Jasin, yang sebelum ini meramalkan sehingga 40 ahli Parlimen Umno akan melompat parti, turut mengesahkan pertemuan itu.
“Ia berlaku pada 22 Oktober atas pemintaan watak-watak dalam gambar ini,” kata Kadir, yang juga penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri, dalam catatan Facebook.
Kadir berkata, walaupun “mesti ada” pemimpin Umno yang berharap pertemuan itu menjadi “talian hayat” supaya dapat terlepas daripada dituduh di mahkamah, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah,” katanya, merujuk kepada tuduhan rasuah berkait jualan beberapa keping tanah di Kuala Lumpur.
“Jumpa PM perkara biasa. Keluar masuk parti pun perkara biasa juga. Tetapi jenayah tetap jenayah,” tambahnya.
Sementara itu, Mohamad menolak spekulasi beliau akan mengikut jejak pemimpin Umno lain meninggalkan parti itu.
“Saya timbalan presiden Umno. Saya masih dengan Umno, tidak ada kata nak keluar Umno.”