
Tuan Ibrahim berkata kekuatan mereka selaku ‘orang lama politik’ sia-sia apabila bersendirian, sebaliknya Perikatan Nasional mengiktiraf masing-masing cukup berpengaruh dalam masyarakat.
“Kita perlu kekuatan untuk bergabung bagi masa depan negara,” katanya kepada FMT.
“Orang dah dibuang dan digantung enam tahun harus buat pendirian, takkan hendak tunggu orang tendang keluar … sedar-sedarlah diri.”
Beberapa nama terkenal dalam Umno dipecat keahlian sebelum atau selepas perhimpunan agung Umno pada Januari lalu, antaranya bekas setiausaha agung Annuar Musa, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas ketua Umno Perlis Shahidan Kassim, dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar atas kesalahan berkait PRU15.
Beberapa lagi digantung keahlian selama enam tahun, antaranya bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, bekas naib ketua Pemuda, Shahril Hamdan, dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman. Ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu atau tidak jelas sebab digantung.
Shahidan bertanding PRU15 atas tiket Perikatan Nasional selepas BN tidak menamakan beliau sebagai calon.
Tuan Ibrahim mengambil contoh situasi Annuar yang dilihat tidak puas hati kerana hanya bergerak bawah NGO Muafakat Nasional.
“Orang politik tidak begitu dan orang lama mesti ada parti. Kalau tiada dia berjuang rasa tawar dan hambar,” katanya.
Beliau turut menyentuh situasi Tajuddin, yang masih menaruh harapan Umno menarik balik penggantungannya.
Tajuddin memberitahu FMT baru-baru ini bahawa dalam rayuannya beliau memohon maaf atas kelantangan mengkritik Presiden Zahid Hamidi.
“Kalau tak puas hati tetapi hanya bagi tahu sendiri-sendiri, mana ada kekuatan,” kata Tuan Ibrahim.