
Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam memberitahu Mahkamah Tinggi, kandungan wawancara Isham – yang disiarkan di media sosial pada 30 Sept 2023 – berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.
“Kami mohon mahkamah mengenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya, memandangkan pihak yang menghina mahkamah (Isham) gagal menggugurkan penghinaan,” katanya dalam hujahan di hadapan Hakim K Muniandy.
Tahun lepas, peguam negara menolak representasi dikemukakan bagi pihak Isham, yang memohon agar beliau dibenarkan membuat permohonan maaf tanpa syarat sebagai balasan prosiding terhadapnya digugurkan.
Mustaffa yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan berkata, Isham melancarkan serangan melulu dan berniat jahat terhadap hakim-hakim perbicaraan Nazlan Ghazali, Collin Lawrence Sequerah dan panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
“Tindakan-tindakan tersebut dianggap sebagai campur tangan dalam pentadbiran keadilan,” tambahnya.
Permohonan tersebut, yang difailkan pada 28 Dis 2023, merujuk kenyataan-kenyataan Isham yang didakwa dibuatnya semasa wawancara bertajuk “Townhall for justice: Keadilan sebenarnya untuk siapa?”
Wawancara itu disiarkan di Facebook pada 30 Sept 2023 menerusi akaun dikenali sebagai Malaya Post.
Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan kebenaran itu, Mustaffa mendakwa Isham mengulas mengenai perbicaraan 1MDB dan SRC International Najib, dan tindakan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan terakhir dalam SRC International.
Isham juga didakwa menuduh Sequerah dan Nazlan – masing-masing mempengerusikan perbicaraan 1MDB dan SRC International – berat sebelah. Dia didakwa berkata, hakim-hakim itu sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes.
Kedua-dua hakim kini bersidang di Mahkamah Rayuan.
Menurut Mustaffa, Isham juga mendakwa, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International, menghakimi kes itu secara tidak adil.
Azhar Azizan Harun, yang mewakili Isham selaku peguam berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah kerana terdapat percanggahan material antara afidavit peguam negara dan kenyataan yang dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan timbalan pendaftar mahkamah.
Beliau berkata, maruah hakim tidak lagi memerlukan perlindungan seperti ketika Zaman Pertengahan di England apabila hakim mewakili raja.
“Dalam sistem demokrasi sekarang, rakyatlah raja,” katanya menambah, kesalahan mengaibkan mahkamah diwujudkan bertujuan melindunginya daripada campur tangan dalam pentadbiran keadilan.
Beliau berkata, pada zaman moden di United Kingdom (UK), tiada prosiding penghinaan dimulakan walaupun media mengkritik hakim.
Azhar yang dibantu oleh Jamie Wong berkata, tindakan Isham tidak mencetuskan kekecohan dalam masyarakat.
“Rakyat tidak mengadakan demonstrasi untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung keputusan kes SRC, dan juga tiada siapapun baling kasut ke arah hakim,” katanya menambah, para hakim harus kental menerima kritikan daripada individu yang prihatin terhadap kepentingan awam.
“Kita kini hidup pada zaman media sosial … semua orang mahu jadi ‘bintang’. Sudah berlalu zaman seseorang itu perlu diundang oleh RTM untuk diwawancara.”
Azhar berkata, Isham hanya mengulang di luar mahkamah apa yang disebut oleh peguam Najib di dalam mahkamah, namun dalam bahasa lebih berhemah.
Katanya, Malaysia patut mengguna pakai pendekatan United Kingdom yang tidak lagi menganggap penghinaan antara jenis perbuatan mengaibkan mahkamah.
“Kebebasan bersuara seperti yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan patut diberi keutamaan” tambahnya.
Muniandy akan menyampaikan keputusannya pada 1 Julai.