
RHB memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara itu dan sentiasa mendukung ‘standard profesionalisme, integriti serta rasa hormat yang tertinggi’ sama ada di tempat kerja mahupun di luar.
“Tindakan disiplin yang bersesuaian akan dikenakan sekiranya sebarang pelanggaran kod etika dan tatakelakuan (RHB Banking Group) dapat dibuktikan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa pandangan yang disuarakan kakitangan tersebut ialah pandangan peribadinya, sama sekali tidak mewakili atau menggambarkan pendirian RHB.
Hantaran yang dimuat naik di Facebook itu kini tular.
Insiden itu menyusul beberapa hari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pengkritik yang mempersoalkan keputusan kerajaan menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Ketika mempertahankan keputusan tersebut, Anwar berkata, beliau berpeluang bercakap secara peribadi dengan presiden AS itu berhubung pelbagai isu, termasuk serangan ke atas Gaza oleh Israel yang merupakan sekutu teguh Washington.