‘Hantar presiden jika berani, bukan hanya wakil’, MIC diberitahu

‘Hantar presiden jika berani, bukan hanya wakil’, MIC diberitahu

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin bidas MIC hadir himpunan agung Pemuda Bersatu, sifatkan ia bukan perkara kecil.

K.Kesavan MIC-Hilman Idham
Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan yang hadir pada Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu bergambar berjabat tangan mesra dengan ketuanya, Hilman Idham semalam.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menyelar tindakan MIC menghantar wakil pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu, menyifatkannya sebagai tidak berprinsip dan ‘hilang jantan politik’.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, jika benar parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mahu mengubah haluan, Presiden MIC SA Vigneswaran sendiri perlu berani muncul di pentas lawan, bukan hanya menghantar ‘wakil’.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

“Mengutus Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan ke pentas lawan hanyalah menyerlahkan sikap separuh hati,” katanya di Facebook.

“Kalau benar mahu menunjukkan hala tuju baharu, sepatutnya presiden MIC sendiri yang hadir … Itu baru isyarat yang berwibawa.”

Semalam, Kesavan hadir pada perhimpunan sayap Pemuda Bersatu sambil bergambar berjabat tangan mesra dengan ketuanya, Hilman Idham.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan mengesahkan kepada FMT bahawa parti itu dijemput dan memaklumkan Kesavan menjadi ‘wakil mereka’.

Dalam pada itu, Vigneswaran menjelaskan, ‘tiada sebarang tindakan disiplin dibincangkan setakat ini’ ke atas Kesavan.

Pengerusi BN Zahid Hamidi awal hari ini berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada MIC meminta penjelasan tindakan seorang pemimpin sayapnya menghadiri perhimpunan agung Pemuda Bersatu semalam.

Zahid berkata, MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian BN, sebaliknya parti pembangkang.

Dalam pada itu, Shaiful menegaskan kehadiran di pentas lawan bukan perkara kecil kerana ia membawa makna sama ada MIC benar-benar yakin dengan langkahnya atau sekadar mencuba nasib.

“Saya berpandangan tindakan sebegini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah merosakkan prinsip setiakawan. Kalau mahu berubah haluan, buatlah dengan berani,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.