
Kira-kira 100 orang bangun melaungkan “Afif” selepas nama Akmal Nasir diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan 3 penjuru itu.
“Kami nak Afif menang! Keputusan penipu! Adakan pemilihan semula,” kata mereka.
Pemilihan PKR yang berakhir minggu lalu dicemari dakwaan penipuan dan politik wang.
Akmal secara rasmi diumum ketua Pemuda PKR baharu bagi sesi 2018-2021 hari ini selepas kiraan undi ragu berakhir pagi tadi.
Menurut sumber, pengikut Rafizi Ramli itu menewaskan Afif, yang dilihat sebagai pengikut Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan kelebihan 50 undi sahaja.
Rakan seregu Akmal, Raymond Ahuar tewas di tangan Muhammad Hilman Idham dalam pertandingan merebut jawatan timbalan ketua Pemuda.
Akmal dalam ucapannya meminta semua ahli untuk bersamanya mengemudi sayap PKR itu selepas pemilihan yang sengit.
“Saya harap semua dapat bantu saya,” katanya. Ketika ini, sebahagian besar daripada penunjuk perasaan sudah meninggalkan dewan.
Hilman, yang juga rakan seregu Afif, meminta semua ahli menerima keputusan pemilihan kali ini dengan hati terbuka.
“Berhenti bergaduh mari kita rapatkan saf,” katanya.