Santiago didakwa cari publisiti murahan, dibidas pemimpin Pemuda PKR

Santiago didakwa cari publisiti murahan, dibidas pemimpin Pemuda PKR

Terdahulu, Charles Santiago berkata pandangan bahawa visi Madani kerajaan memaksa PN meluaskan tumpuan terhadap pengundi bukan Melayu dianggap salah diagnosis.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memantau rapat isu-isu masyarakat India, kata pemimpin Pemuda PKR ketika menegur bekas wakil rakyat, Charles Santiago. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda PKR membidas bekas Ahli Parlimen Charles Santiago yang dilihat cuba mencari publisiti murahan, selepas menuduh naib presiden parti itu mengabaikan realiti golongan bukan Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Timbalan Ketua Biro Usahawan dan Ekonomi, Vignesvaran Gunasagaran, berkata tindakan bekas wakil rakyat DAP itu mencerminkan rasa terdesak untuk kekal relevan, ‘selepas tersingkir daripada arena politik’.

“Sekumpulan pemimpin DAP seperti Santiago ini perlu sedar kedudukan mereka sebelum ini dan ketika ini. Jangan suka hati nak buat tuduhan. DAP juga sebahagian dalam kerajaan yang memiliki empat menteri penuh,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Santiago berkata pandangan R Ramanan bahawa visi Madani kerajaan memaksa Perikatan Nasional (PN) meluaskan tumpuan terhadap pengundi bukan Melayu dianggap salah diagnosis, yang boleh membawa kepada penyelesaian yang salah menjelang PRU akan datang.

Katanya, PN mula mendekati pengundi bukan Melayu kerana ‘PAS dan PN kini dapat menghidu peluang menawan Putrajaya’.

Pada Sabtu, Ramanan berkata penekanan kerajaan Madani terhadap keterangkuman, tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau kumpulan, sebab mengapa pihak seperti PAS mendekati komuniti India.

Mengulas lanjut, Vignesvaran berkata menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sahaja, enam inisiatif khas diwujudkan khusus untuk membantu usahawan komuniti India seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (menerusi Tekun Nasional), Prosperity Empowerment and A New Normal (Amanah Ikhtiar Malaysia), dan Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (Bank Rakyat).

Beliau juga menarik perhatian kepada Program Business Accelerator untuk Syarikat Milikan India (menerusi SME Corp), dan Skim Pembiayaan Vanigham (SME Bank) untuk usahawan India, dan Geran Bakti Madani (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) bagi pemerkasaan koperasi komuniti India.

“Semua inisiatif ini adalah fakta nyata, bukan propaganda. Seramai 11,444 usahawan India dengan penyaluran dana sebanyak RM202.58 juta telah pun menerima manfaat secara langsung bukti jelas komitmen kerajaan.

“Semua inisiatif tersebut hanyalah di bawah kepimpinan Ramanan sahaja di bawah Kuskop, kita belum lagi masukkan inisiatif-inisiatif kerajaan yang lain,” katanya.

Vignesvaran menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri memantau rapat isu-isu masyarakat India.

“Santiago dan mana-mana pihak jangan cuba menabur politik kebencian dengan alasan mahu memperjuangkan rakyat. Fakta tidak boleh disembunyikan. Rujuk kejayaan yang sedang berlaku, bukan jadi tukang tilik di tepi gelanggang,” katanya.

PN membentuk gabungan pembangkang longgar yang melibatkan antara lain parti seperti Urimai dan Parti Kemajuan Malaysia bagi meningkatkan sokongan di kawasan bandar dan separa bandar, khususnya dalam kalangan bukan Melayu.

Mei lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, beri amaran Pakatan Harapan (PH) mengalami kemerosotan sokongan dalam kalangan bukan Melayu, dengan kajian dalaman menunjukkan penurunan sokongan masyarakat India 38% dan semakin ramai pengundi Cina tidak lagi berhasrat keluar mengundi pada PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.