
Hajiji mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, awal pagi ini.
Setakat ini, GRS secara rasmi memenangi 29 kerusi. Hajiji juga difahamkan mendapat sokongan lima calon bebas yang menang, tiga Adun Upko dan seorang Pakatan Harapan.
Gabungan sokongan ini memberikan beliau majoriti 38 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi berkata gabungan itu bersedia bekerjasama dengan parti lain yang ‘sehaluan’ untuk membentuk kerajaan negeri.
Hajiji kali pertama dilantik sebagai ketua menteri Sabah pada September 2020.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan kemenangan GRS sebagai kemenangan rakyat dan mengucapkan terima kasih atas mandat baharu yang diberikan kepadanya untuk terus menerajui kepimpinan pentadbiran negeri.
“Kemenangan ini milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah lebih cerah.
“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.
“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.
Beliau mengajak semua rakyat Sabah bersama meraikan kemenangan GRS kali ini sebagai permulaan kepada bab baharu yang dipenuhi tujuan dan tekad untuk membina masa depan lebih baik.
Sejak awal, katanya, komitmen GRS untuk memupuk perubahan dan kemajuan menerusi agenda pembangunan holistik serta inklusif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus menggerakkan pembangunan bermakna dan membina jambatan menyatukan, bukan memisahkan.
“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United).”
Menurutnya, komitmen penuh gabungan parti tempatan Sabah itu untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.
“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai.”
Beliau mahu semua rakyat Sabah bersama kerajaan negeri terus bekerjasama sebagai rakan kongsi aktif dalam perjalanan memacu kemajuan negeri dengan perpaduan sebagai kekuatan bagi memastikan kemenangan itu benar-benar membawa makna.
“Kepada semua pihak lawan, kita telah bertanding bersama-sama sepanjang pilihan raya ini, marilah kita merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu.
“Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan.”